"Selangkah ke belakang, sehiris di bawah bahu sang suami" - Mesej Tun Rahah dikenang
Harits Asyraf Hasnan
Disember 19, 2020 15:29 MYT
Disember 19, 2020 15:29 MYT
KUALA LUMPUR: Mesej Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah perlu sentiasa disemat oleh para isteri dalam memastikan kejayaan suami dan kestabilan rumah tangga.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkongsi amanat dan mesej yang selalu dikongsikan Tun Rahah sepanjang hayatnya.
"Bagaimana isteri kepada seorang perdana menteri menghayati kehidupan.
"Saya masih ingat kata beliau: 'Kita seperti kata adat, harus selangkah di belakang, sehiris di bawah bahu sang suami'.
"Kata-kata beliau ini sejurus sama dengan kata-kata adat yang meminta si isteri bertindak melaksanakan tugas dengan hemah tapi tidak menonjol lebih daripada suami," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI.
Jelas beliau, sifat itu merupakan satu pengajaran yang para isteri pembesar-pembesar harus pikul dan nikmati serta hayati.
"Selain daripada itu, dapat saya katakan, cermatnya beliau dalam menjaga kewibawaan keluarga.
"Ini sukar untuk kita tandingi, beliau tidak suka kepada publisiti dan tidak mengambil berat sama ada namanya disebut atau tidak.
"Namun, nilai sifat-sifat murni yang ada pada beliau tetap tersohor," kata beliau.
#Tun Rahah
#Mengenang Tun Rahah
#Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah
#Tan Sri Dr Rais Yatim
#Dewan Negara
#Perdana Menteri