Selamatkah udang Malaysia? Kami 'kupas' 3 fakta

Luqman Hariz
April 21, 2016 17:20 MYT
Syed Omar: Eksport udang itu bukan datang dari Malaysia - Foto Astro AWANI
Pentadbiran Makanan dan Ubatan-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada 18 April lalu telah mengeluarkan satu amaran terhadap pengimportan udang dari Malaysia.
Menurut FDA, udang Malaysia mempunyai sisa antibiotik berlebihan atau nitrofurans dan chloramphenicol yang dikatakan boleh menyebabkan cirit-birit dan leukemia.
Namun, adakah benar udang di negara ini benar-benar tidak selamat dimakan?
Astro AWANI menemubual Pengerusi Persatuan Industri Udang Malaysia, Syed Omar Syed Jaafar untuk mengupas lebih lanjut mengenai perkara itu.
1. “Udang dari Malaysia” ini sebenarnya bukan dari Malaysia
Syed Omar berkata ketika ini, kira-kira 48 syarikat di serata Asia diberi kuasa untuk mengeluarkan sijil perakuan yang mendakwa sesuatu produk itu berasal dari Malaysia, walaupun ia bukan berasal dari sini.
Pemberian kuasa mengeluarkan sijil ini merupakan amalan biasa yang dilakukan untuk memantapkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara negara.
Katanya, sesetengah negara yang mempunyai udang yang disenarai hitamkan kerana mempunyai bahan merbahaya, menyalahgunakan sijil ini dan mendakwa udang mereka datang dari Malaysia.
Mereka ambil ‘certificate of origin’ dari Malaysia, dan mereka eksport semula ke Amerika.
“Udang yang didakwa itu berasal dari China, Vietnam, India, Indonesia, mereka masukkan melalui Malaysia, mereka ambil ‘certificate of origin’ dari Malaysia dan mereka eksport semula ke Amerika Syarikat.
2. Malah, Malaysia tidak langsung mengeksport udang ke Amerika Syarikat
“Buat masa sekarang, udang ternakan di Malaysia tidak cukup walau untuk memenuhi permintaan domestik,” tegas Syed Omar.
Beliau berkata permintaan domestik untuk udang di Malaysia adalah sekitar 40,000 ke 50,000 tan setahun, sementara penternak tempatan hanya menghasilkan kira-kira 35,000 ke 40,000 tan setahun.
“Tambahan lagi, harga jualan domestik jauh lebih baik dari harga yang kami dapat jika kami mengeksport ke Amerika Syarikat,” tambahnya.
Syed Omar bagaimanapun menambah, Malaysia mengeksport sebahagian kecil udangnya terutamanya ke Eropah, Australia dan Korea.
3. Yang penting, udang Malaysia selamat dimakan
Kalau udang Malaysia, memang tak pernah ada masalah dengan sisa antibiotik.
“Sehingga kini, kalau udang Malaysia, anda pergi periksa di ladang, memang tidak pernah ada masalah dengan sisa antibiotik,” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia mempunyai rekod sangat baik dari segi kebersihan udang ternakan.
Katanya, penguatkuasaan serta penjagaan piawai yang tegas mengekalkan udang ternakan negara pada standard tertinggi.
#eksport #FDA #makanan laut #Malaysia #udang
;