Selamat tinggal tong gas hijau, Sarawak beralih ke putih, hitam dan merah
Astro Awani
Februari 16, 2020 19:08 MYT
Februari 16, 2020 19:08 MYT
Syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros) bakal memperkukuhkan lagi jenamanya di Bumi Kenyalang.
Selepas mengambil alih peranan operator sistem pengagihan gas domestik di Miri dan Bintulu daripada Petros bakal memperkenal gas silindernya sendiri.
Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika berucap di majlis pelancaran program Sarawak Kita Empun di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching pada Ahad.
Ujar Abang Johari dengan perkembangan ini, Sarawak mungkin tidak lagi akan menjual gas jenama lain.
"Kali ini tidak ada lagi warna hijau.
"Warna putih, hitam dan merah kerana ia adalah warna Petros beserta logonya," kata Abang Johari.
Mengulas lanjut Abang Johari menjelaskan rancangan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat termasuk penentuan kadar harga berdasarkan pasaran
"Jangan tanya harga dahulu. Harganya mestilah ikut pasaran. Kita buat satu demi satu," katanya lagi.
12 Februari lepas Sarawak menerusi Petros memetrai perjanjian dengan Petronas bagi mengambil alih pengagihan gas domestik berkuatkuasa 1 Januari 2020.
Ini sekaligus menjadikan Petros sebagai entiti tunggal untuk membekal, menjual dan mengedar gas domestik ke rumah, perniagaan dan industri Sarawak.
#Abang Johari
#Abang Johari Tun Openg
#AWANI Sarawak
#Petronas
#Petros
#Sarawak Kita Empun
#Syarikat Petroleum Sarawak
#tong gas