Selamat tinggal Marc, anda pasti dirindui
Astro Awani
Februari 5, 2022 20:04 MYT
Februari 5, 2022 20:04 MYT
PERIANG, berhati mulia, mudah membantu dan menikmati hidup sepenuhnya.
Itu antara gambaran diberikan ramai rakan dan saudara mara bekas Ketua Bahagian Kandungan Tamil Astro, Marc Lourdes, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kelantan hari ini.
Marc, 40, maut selepas motosikal berkuasa tinggi dinaikinya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di KM40 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, jam 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy, dilapor berkata, Marc meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan mayatnya dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
Rata-rata rakan dan keluarga yang menerima berita pemergiannya menyatakan rasa terkejut dengan kejadian yang tidak disangka itu dan mengimbas pelbagai kenangan manis bersama mendiang.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan dengan memulakan karier di The Star pada 2005 sebelum menyertai The News Straits Times (NST).
Kariernya kemudian berkembang apabila menyertai Yahoo Malaysia, Yahoo Singapura dan Yahoo Asia Tenggara dan seterusnya CNN Digital Asia sebelum menjadi Naib Presiden Astro (Ketua Bahagian Kandungan Tamil).
Marc meninggalkan isteri, Darshini Kandasamy, selain ibu yang kini berada di India.
Darshini dalam catatan di media sosialnya menggambarkan Marc sebagai kekuatannya dan segala-galanya buat dirinya, lapor NST.
"Sangat memeritkan, apabila dia pergi hanya 10 hari sebelum kami menyambut ulang tahun perkahwinan kami yang ke-10. Tetapi saya berasa tenang kerana dia meninggal dunia ketika melakukan aktiviti kegemarannya, iaitu menunggang motosikal dan menikmati kehidupannya.
"Saya tidak pernah membayangkan akan menulis kata-kata seperti ini, sekurang-kurangnya tidak sehingga kami sama-sama menjalani usia tua. Tetapi Marc, suami yang sangat saya cintai, ‘partner-in-crime’ dan juga sahabat baik saya, sudah tiada lagi di dunia ini.
"Dia telah membuat hati saya menyanyi dan saya percaya dia juga telah menyentuh dan memberi semangat kepada sesiapa sahaja yang mengenalinya. Dia seorang yang sangat menyayangi keluarga, rakan-rakan dan telah menikmati dan menjalani kehidupannya dengan sepenuhnya. Pemergiannya akan meninggalkan jurang yang tidak dapat diisi dengan apapun," katanya.
Dalam pada itu, Darshini berkata disebabkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, majlis pengebumian Marc akan diadakan secara kecil-kecilan dengan hanya dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat.
"Saya mohon semua mendoakan suami kesayangan berada dalam keadaan aman dan suatu hari nanti saya berharap kita dapat berkongsi kenangan terindah tentang dia bersama-sama... Tetapi sehingga itu, kenang kami di dalam doa dan hati anda,” katanya.