Selamat kanak-kanak hampir lemas, Muhammad Zulfikal terima anugerah hero bomba
Bernama
Disember 21, 2022 17:51 MYT
Disember 21, 2022 17:51 MYT
SEREMBAN: Tindakan berani seorang remaja Muhammad Zulfikal Asmadi, 14, yang menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun selepas hampir lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu pada 16 Dis lepas menerima penghargaan khas dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.
Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal itu menerima Sijil Penghargaan Hero Bomba yang disampaikan Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid ketika lawatan kerja rasminya ke JBPM Negeri Sembilan di sini.
Ibarat 'hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga', Mohammad Hamdan berkata pihaknya terpanggil menghargai pengorbanan wira remaja berasal dari Terengganu itu yang dilihat dapat dijadikan contoh terutama kepada generasi muda kini.
Dalam pada itu, Muhammad Zulfikal yang ditemui pemberita meluahkan rasa kesyukuran dan gembira atas penghargaan tidak disangka itu selain menyifatkan ia sebagai pembakar semangat untuk terus membantu orang lain selepas ini.
"Saya rasa bangga dapat anugerah ini dan ia merupakan kali pertama saya menerima anugerah seperti ini. Ketika kejadian saya memang berada di pantai berkenaan, keadaan ketika itu berombak, tiba-tiba ada orang maklum ada kanak-kanak tenggelam timbul di pantai.
"Tanpa fikir panjang, saya terus ambil bot berhampiran dan terus ke pantai untuk beri bantuan, dalam fikiran saya ketika itu nekad mahu selamatkan dia, saya tak rasa takut ketika itu," katanya yang bercita-cita menjadi anggota badan beruniform.
Muhammad Zulfikal berkata dia mempunyai kemahiran berenang dan mengendalikan bot susulan sering mengikut bapanya, Asmadi Ripin, 42, yang juga seorang nelayan turun ke laut sejak berusia 12 tahun.
Terdahulu, video memaparkan tindakan pantas Muhammad Zulfikal yang menongkah arus deras dan ombak besar kira-kira 100 meter dari pantai berkenaan demi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak tular di laman sosial sejak Ahad dan turut mendapat pujian warganet.
Sementara itu, Asmadi turut meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada JBPM atas anugerah diterima anak sulung daripada empat adik beradik itu.
"Dia memang seorang anak yang berani, saya pun tak sangka dia mampu selamatkan orang lain, saya tahu mengenainya pun lepas dia balik rumah beritahu. Alhamdulillah, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan mangsa berjaya diselamatkan," katanya.
Dalam kejadian 5.30 petang Jumaat lepas, mangsa yang berasal dari Bandar Seri Bandi, Kemaman terselamat daripada lemas ketika berkelah dan mandi di pantai itu bersama ahli keluarganya.
-- BERNAMA