Selamat jalan ke negeri abadi, Iman Ramadhani meninggal dunia ketika subuh
Sinar Harian
Disember 24, 2024 05:40 MYT
Disember 24, 2024 05:40 MYT
SHAH ALAM: Penderitaan dihadapi kanak-kanak penghidap gangguan saraf otak, Mohamad Nur Iman Ramadhani, 12, berakhir apabila disahkan meninggal dunia pada awal pagi Selasa.
Berita menyayat hati tersebut dikongsikan ibunya, Norhanisah Haswan dan sahabat handai di platform TikTok.
Menyifatkan Mohamad Nur Iman sebagai anak yang sangat baik sejak kecil, Norhanisah turut berterima kasih kerana kehadiran anak sulung daripada tiga adik-beradik itu cukup memberikan kebahagiaan dan kenangan terindah buat keluarga kecilnya.
“Selamat jalan ke negeri abadi anakku Mohamad Nur Iman Ramadhani. Terima kasih beri kebahagiaan untuk kami selama ini.
“Terima kasih bagi peluang ibu dan abah jaga selama 12 tahun ini, banyak pengajaran serta kenangan kita bersama.
“Iman tunggu ibu dan abah di syurga, terima kasih juga buat yang mendoakan serta membantu selama ini. Allah SWT dah jawab doa-doa kita, inilah pengakhirannya. Sayang sampai syurga,” katanya.
Baru-baru ini, tular video di media sosial memaparkan pengorbanan bapa Mohamad Nur Iman yang sanggup menemani anaknya menjalani rawatan dengan memasuki ruangan Terapi Oksigen Hiperbarik (HBOT) bersama-sama.
Difahamkan, Mohamad Nur Iman sudah lama menghidap ‘adrenoleukodystrophy’ dan gejala awal mula dikesan sejak Julai 2021.
Kisah si cilik berkenaan mulai mendapat perhatian masyarakat sejak tiga tahun lalu, lebih-lebih lagi warga TikTok yang sentiasa mengikuti perkembangan keluarga kecil tersebut.
Norhanisah memaklumkan, dia tidak mengesan sebarang tanda atau perilaku ganjil yang ditunjukkan anaknya itu melainkan sempat mengalirkan air mata dan membuang air besar beberapa jam sebelum meninggal dunia.
“Ibu bangun subuh Iman dah tak ada, ibu sempat berjaga dengan Iman sampai jam 2 pagi, air mata Iman mengalir masa itu. Ibu bagi air tapi dia tersedak.
“Selepas itu, tiba-tiba Iman buang air besar. Jarang dia membuang waktu macam itu, kemudian ibu urut belakang badan Iman.
“Jam 3 pagi ibu tertidur sebab penat sangat, Iman tak menyusahkan ibu dan abah pada masa akhir dia pergi dengan mudah,” ujarnya. - Sinar Harian