"Selamat jalan, Harimau Jelutong"
Astro Awani
April 16, 2014 07:55 MYT
April 16, 2014 07:55 MYT
Berita kematian tokoh politik dan peguam terhormat, Karpal Singh yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya dekat Tapah awal pagi ini disambut dengan reaksi terkejut dan dukacita yang dikongsikan oleh segenap lapisan rakyat — ahli politik, aktivis, peguam serta orang ramai.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang dalam rangka lawatan ke Turki mendapat berita itu sebaik mendarat di Ankara.
Berita yang cepat tersebar tidak lama selepas kejadian itu menebarkan dukacita di kalangan rakan perjuangan tokoh politik DAP itu dalam Pakatan Rakyat.
Ia juga mengejutkan pemimpin-pemimpin politik yang lain.
Orang ramai juga umumnya mula mendapat berita kemalangan yang berlaku lebih kurang pukul 1.30 pagi itu sebaik saja bangun tidur untuk memulakan hari baru dan terkejut dengan berita itu.
Pemergian Karpal ini juga dibayangkan akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada politik tanah air serta lapangan perundangan negara.
Sementara itu, reaksi tidak senonoh serta foto yang dirakamkan di tempat kejadian tersebar melalui rangkaian media sosial sehingga mendesak beberapa pengguna Twitter menggesa orang ramai supaya menghormati perasaan keluarga mendiang.