"Selama ini, saya meragui diri sendiri" - Izza, penerima biasiswa Chevening
Isabelle Leong
Ogos 25, 2017 17:33 MYT
Ogos 25, 2017 17:33 MYT
Tiga perkataan pertama yang terpampang pada e-mel, “Kami gembira mengumumkan..” menggegarkan Izelan sekeluarga.
Si ibu berlari ke bilik anaknya untuk menegurnya kerana menjerit namun apabila dijawab dengan “Saya berjaya! Saya berjaya!”, mereka sama-sama berlinangan air mata kegembiraan.
Bagi Izza Izelan, beliau pasti ingin mengingati memori tersebut sebagai detik permulaan perjalanannya sebagai seorang calon terpilih sarjana Chevening, namun ia memang bukan sedemikian.
“Ingat, tiada yang percuma. Jika anda inginkan sesuatu, pengorbanan dan usaha harus dicurahkan.”
Membahagikan masa antara bekerja syif pagi dan melengkapkan lima esei untuk pemohonannya, pembaca berita dwibahasa dan wartawan siaran di Astro AWANI ini tidak dapat membezakan malam dan siang kerana mendedikasikan diri untuk menghabiskan esei-esei tersebut dalam tempoh seminggu.
“Keraguan dan ketakutan. Itulah cabaran terbesar saya. Buat masa yang lama, saya ragu dan takut. Saya mempersoalkan sama ada saya cukup baik. 50,000 pemohon datang dari seluruh pelosok dunia dan bertanding bersama-sama mereka. Saya tidak mempunyai apa-apa jangkaan. Saya hanya ingin buat yang terbaik, untuk menguji kebolehan diri. Jadi saya mengatasi keraguan tersebut.
“Takut pada kegagalan merupakan cabaran lain yang saya hadapi. Saya tahu ada peluang besar bahawa saya tidak akan berjaya. Bagaimanakah saya akan melihat diri saya kelak? Adakah saya akan membenci diri kerana saya tidak cukup baik? Adakah saya akan merendahkan harga diri saya?”
Hanya 44 profesional tempatan dipilih dari seluruh negara dan apa yang membuat Izza menyerlah adalah kerjaya beliau setakat ini.
“Saya rasa saya menonjol sebagai salah satu calon sarjana yang terpilih adalah kerana kerja saya. Karier saya sepanjang ini memang berwarna-warni. Saya pernah bekerja dalam beberapa sektor – pelajaran, penyelidikan pasaran, pengiklanan dan sekarang, dunia televisyen.
“Saya perlu memberi kredit kepada kerjaya saya kerana Astro AWANI merupakan saluran berita yang lain daripada yang lain di rantau ini. Kami semua “survivor” di sini. Apabila saya menulis karangan saya, saya mengambil contoh daripada pengalaman sebenar, daripada kajian kes orang yang saya pernah temu bual dan daripada laporan khas saya.
Pendidik dan pelajar tekun yang berusia 29 tahun ini telah disenaraipendekkan ke tiga universiti terkemuka di United Kingdom dan beliau memutuskan untuk melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Pendidikan & Pembangunan Antarabangsa di Institut Pendidikan (IOE) di University College London (UCL), yang merupakan fakulti pendidikan pertama di dunia, September ini.
Faktor yang mendorong beliau memilih UCL adalah penempatan dua minggu dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) di Paris menjelang akhir tahun akademiknya, di mana pelajar akan diperkenalkan kepada kerja-kerja organisasi antarabangsa utama dalam bidang pendidikan dan pembangunan seperti UNESCO dan Organisation for Economic Co-orperation and Development (OECD).
"Saya mempunyai niat yang lebih mendalam.
"Sebab mengapa saya memohon untuk ini adalah kerana saya benar-benar mahu membuat perubahan. Selaku wartawan, kami menulis tentang perkara semasa dan memang kami sedang melakukan sesuatu. Tetapi saya mahu buat lebih daripada itu. Ketika itulah saya mula menyedari bahawa saya mesti melakukan sesuatu untuk merealisasikan impian saya.
“Dengan ijazah sarjana ini, saya berharap untuk memperbaiki sistem pendidikan, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Saya ingin memberi tumpuan terhadap pendidikan untuk pelarian. Pendidikan adalah akar kepada segala-galanya. Bilik darjah tidak hanya terlindung dalam lingkungan empat dinding ini. Bilik darjah adalah dunia.
"Saya boleh melakukan perbandingan dengan negara-negara lain, negara yang berbilang bangsa dan budaya sebagai penanda aras dan mengambil apa yang ditawarkan untuk menghasilkan pemuda-pemuda yang lebih bijak. Saya percaya semuanya bermula daripada golongan muda. Saya memikirkan masa depan," kata Izza.
Apabila ditanya sama ada beliau mempunyai nasihat untuk dirinya yang berumur 12 tahun dahulu, beliau berkata, "Anda boleh melakukannya. Jangan meragui diri anda. Jangan takut untuk mengambil langkah ke belakang untuk melihat diri dan sentiasa memastikan diri anda terurus. Hiduplah kehidupan ini tanpa ketakutan."
Bukan Tower Bridge, Big Ben atau mungkin Oxford Street yang menarik perhatian Izza. Bas “double-decker” merah di jalan-jalan di ibu kota itulah yang dinanti-nantikan oleh beliau kerana teringatkan percutian keluarga ketika beliau berusia 9 tahun. Terdapat juga sesuatu, mungkin juga seseorang yang beliau tidak sabar untuk temui ketika tiba di London nanti.
"Saya akan katakan “fish and chips”, tetapi tidak. Saya perlu jaga badan untuk OOTD (outfit of the day) Instagram. Oleh itu, saya mungkin akan cuba mencari Putera William atau Putera Harry. Saya memuja Putera Harry sebenarnya.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang menyokong saya. Kepada Ketua Pegawai Eksekutif Astro AWANI, Encik Suhaimi Sulaiman, terima kasih kerana mempercayai saya ketika tiada siapa yang percaya pada Izza dan rakan-rakan di Astro AWANI yang telah mengajar saya menjadi matang dan mengharungi lumrah kehidupan sebagai wartawan. Sekiranya bukan kerana mereka, saya tidak akan berada di sini hari ini,” katanya.
Anugerah Chevening adalah program biasiswa global kerajaan UK yang ditawarkan oleh Pejabat Luar Negeri dan Komanwel.
Para sarjana yang berjaya akan dihantar ke UK seawal September tahun ini untuk mengikuti pelbagai program ijazah sarjana di universiti terkemuka di UK, dengan matlamat untuk kembali ke Malaysia untuk memberikan sumbangan dalam sektor dasar awam, hak asasi manusia dan undang-undang, media dan pendidikan, ekonomi, sains dan kejuruteraan.
#Astro Awani
#Chevening award
#chosenforChevening
#dwibahasa
#Ijazah Sarjana Pendidikan & Pembangunan Antarabangsa
#Institute Pendidikan
#Izza Izelan
#Paris
#pembaca berita
#Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
#United Kingdom
#University College London