Selain penemuan RM11 juta, 19 individu ditahan dalam Op Gegar
Ruzaini Zulkepli
November 24, 2017 19:08 MYT
November 24, 2017 19:08 MYT
Seramai 19 individu termasuk tiga lelaki ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam serbuan di sebuah hotel di Kota Kinabalu, pagi tadi yang turut menemukan wang tunai dianggarkan berjumlah RM11 juta.
Dalam serbuan itu, semua individu berusia antara 20 hingga 40-an berkenaan ditahan untuk disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) (Akta 670).
Menurut sumber, tiga lelaki tempatan dan 16 wanita warga asing berasal dari negara China serta Filipina itu dikatakan terlibat aktiviti tidak bermoral di lokasi terbabit sebelum penguat kuasa berjaya menemui sejumlah wang tunai dengan ada di antaranya yang dipercayai disembunyikan di dalam sebuah kotak minuman keras.
"Berikutan penahanan semua individu itu, pemeriksaan lanjut kemudiannya dilakukan di lokasi berkenaan berjaya menemui sejumlah wang mencecah jutaan ringgit.
"Susulan dengan penemuan pertama, pihak berkuasa menjalankan satu lagi serbuan di sebuah lokasi di pangsapuri berhampiran Kota Kinabalu dan menemui lagi sejumlah wang," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali ketika dihubungi Astro AWANI enggan mengesahkan mengenai operasi itu kerana dikhuatiri mengganggu siasatan dan operasi.
Bagaimanapun katanya, beliau akan mengadakan sidang akhbar berhubung perkara itu di Akademi Imigresen di Port Dickson, Negeri Sembilan.
#China
#hotel
#Imigresen
#Kota Kinabalu
#Mustafar Ali
#Negeri Sembilan
#operasi
#ringgit
#siasatan
#wanita
#warga asing