Selain ke tali gantung, apa selainnya yang lebih berkesan sebagai pedoman? Agenda AWANI 9 malam ini
Israr Khalid
Jun 13, 2022 17:34 MYT
Jun 13, 2022 17:34 MYT
KUALA LUMPUR: Hukuman mati di Malaysia sudah wujud sejak berpuluh tahun lalu sekali gus menjadikan kita antara 56 negara di dunia yang melaksanakannya.
Di bawah lapan akta berbeza dalam undang-undang negara ini terdapat 32 kesalahan yang diperuntukkan hukuman mati dengan 11 daripada 32 kesalahan itu hukumannya mati mandatori.
Mati mandatori, sepertimana namanya, adalah hukuman mati yang wajib dijatuhkan oleh mahkamah terhadap tertuduh yang disabitkan dengan salah satu daripada 11 kesalahan tersebut tanpa pilihan lain sebagai gantian.
Secara puratanya, sekitar 75 peratus pesalah yang menerima hukuman mati mandatori adalah atas kesalahan berkaitan dadah, 25 peratus lagi atas kesalahan membunuh dan selebihnya kesalahan-kesalahan lain.
Begitupun sejak kewujudannya, ada pihak melihat ia tidak begitu memberikan kesan yang jitu dalam membendung kesalahan yang diletakkan di bawah hukuman tersebut daripada terus berulang dan berkurang sepertimana yang diharapkan.
Maka wujud cadangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori sejak beberapa tahun lalu apabila pada 2015 bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali memberi cadangan tersebut dan memberi ruang kepada budi bicara hakim untuk menentukan hukuman yang setimpal.
Susulan itu, cadangan tersebut dibawa ke Kabinet hinggalah tahun ini, pada 10 Jun tempoh hari, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, dua hari sebelumnya.
Kerajaan juga menerima dan mengambil maklum cadangan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang diketuai oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.
Sementara perbincangan berlaku di peringkat tertinggi, diskusi juga tidak terkecuali berlangsung dalam kalangan rakyat khususnya para pengamal undang-undang, untuk melihat - sekiranya hukuman mati tidak berkesan mengurangkan kadar jenayah tertentu, apakah bentuk hukuman lainnya?
Agenda AWANI Khas malam ini akan menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk menjawab persoalan-persoalan berbangkit sekitar isu tersebut.
Pastikan anda menonotonnya secara langsung pukul 9 malam ini,hanya di saluran 501 dan astroawani.com.