Selain guru, tugas didik pelajar adalah tanggungjawab bersama - PM Anwar
Azib Zikry
Julai 13, 2024 12:20 MYT
Julai 13, 2024 12:20 MYT
KAJANG: Tugas mendidik seseorang pelajar merupakan tanggungjawab bersama, dan tidak seharusnya disandarkan sepenuhnya kepada guru, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, pendapat yang mengatakan tugas mendidik bersandar kepada guru semata-mata merupakan kenyataan yang tidak bertanggungjawab apa lagi guru sering dipersalahkan jika seseorang pelajar itu ‘tidak menjadi.’
“Kalau masalah anaknya dadah salah guru, anak kurang belajar salah guru, tak pandai salah guru, ia kena terima tanggungjawab kita.
“Ibu bapa dan keluarga apa peranannya pula? Sebab itu tugas mendidik sememangnya tigas guru, tetapi perlu semai kesedaran dan kasih sayang,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap dalam majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), di sini, pada Sabtu.
Tambah Anwar lagi, kerajaan kini komited untuk mengadakan sesi libat urus dengan lebih kerap bersama kesatuan pekerjar terutamanya guru kerana isu pendidikan merupakan isu mendesak dan besar.
Kata beliau, tidak ada rugi pihaknya untuk menyantuni guru dalam cuba menyelesaikan dan mendengar keluhan mereka termasuk pelarasan gaji guru kerana ia akan membantu memberi keyakinan untuk meningkatkan mutu profesion guru negara.
Tambah Anwar, meskipun negara dibebani hutang, beliau akan memastikan kerajaan akan melakukan pelarasan gaji guru berdasarkan keluhan yang diterima.
Anwar yang juga Menteri Kewangan juga berjanji akan memastikan pelarasan gaji penjawat yang diumumkan kelak tidak akan mengenepikan sektor pendidikan yang penting kepada negara.
Namun begitu, menurut beliau, guru yang cuai, lemah, langgar displin berkemungkinan tidak akan mendapat kenaikan pangkat secara time based.