"Selagi masih waras, sila bersara" - kata Hanipa kepada Abdul Hadi

Firdaus Azil
Oktober 27, 2019 13:01 MYT
Permintaan itu dibuat kerana Hadi sering mengajar ahli PAS untuk tidak mengamalkan assobiyah, tetapi tidak memegang pada ajarannya sendiri, kata Hanipa Maidin..
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Hanipa Maidin meminta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bersara selagi masih mempunyai ‘kewarasan’.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, permintaan itu dibuat kerana Abdul Hadi sering mengajar ahli PAS untuk tidak mengamalkan ‘assobiyah’, tetapi tidak memegang pada ajarannya sendiri.
Hanipa membuat kenyataan demikian dalam catatan di laman Facebooknya, dengan memuatnaik petikan laporan portal bertajuk Kesabaran kami ada had, henti tuduh orang Melayu ‘rasis’, kata Abdul Hadi.
Maaf lah jika saya kata. Plse lah bersara.. Dah makin tak ketahuan YB. Resign so long your sanity is still ok. Dulu YB yang ajar kami semua tak boleh عصبية . Kok sekarang tebalnya ' asobiyyahnya YB,” tulisnya.
Dalam artikel dari portal Free Malaysia Today itu, Abdul Hadi dilaporkan memberi amaran kepada kaum lain supaya tidak melabelkan orang Melayu sebagai “rasis” kerana kesabaran mereka ada batasnya.
Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, dipetik sebagai berkata, terdapat dwistandard untuk label “rasis” dan orang Melayu sering diberikan label itu walaupun mereka hanya menuntut hak sendiri.
#Abdul Hadi Awang #Hanipa Maidin #Malaysia #Melayu #Parti Amanah Negara #PAS
;