Selagi belum bebas COVID, selagi itu PKPP masih diperlukan

Firdaus Azil
Ogos 29, 2020 09:51 MYT
Walaupun ada impak kepada ekonomi negara, apa yang perlu terus menjadi keutamaan ialah keselamatan dan kesihatan rakyat itu sendiri. - Gambar fail/BERNAMA
Selagi belum benar-benar bebas dari COVID-19, selagi itu Malaysia perlu melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Walaupun ia akan memberi impak kepada ekonomi negara, beliau berkata, apa yang perlu terus menjadi keutamaan ialah keselamatan dan kesihatan rakyat itu sendiri.
Ulasnya lagi, rakyat perlu memainkan peranan, seperti menjaga displin dan penjarakan fizikal dalam usaha membantu mengekang penularan wabak itu.
"Bagi saya sangat penting soal berkaitan displin. Saya ingin sekali lagi menegaskan agar rakyat dapat mengamalkan displin ketat. Jadi kalau kita tahu bagaimana, kita boleh laksanakan konsep kita jaga kita, saya jaga saya.
“Saya harap dengan berbuat demikian, kalau kita ikut semua SOP, kita memainkan peranan masing-masing, itu boleh membantu diri kita untuk bersama-sama dengan pihak berkuasa, untuk menjadikan Malaysia bebas daripada COVID-19 satu hari nanti," katanya lagi.
BACA: Tempoh PKPP dilanjut sehingga 31 Disember
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPP dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
Dengan pelanjutan tempoh PKPP, beliau berkata tindakan penguatkuasaan masih boleh dijalankan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.
Dalam pada itu, Lam Thye berkata, setakat ini kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia telah berjaya mengawal penularan wabak itu dengan baik.
“Kalau kita imbas kembali, apabila PKP ini diumumkan pada 18 Mac lepas, setakat ini lebih kurang hampir 4 bulan, kita dapat membuktikan bahawa atas usaha gigih yang dapat dilaksanakan Kementerian Kesihatan dan semua yang terlibat di barisan hadapan.
"Dan dengan kerjasama yang dapat diberikan oleh majoriti rakyat kita, jadi kita boleh katakan sudah berjaya untuk menghapuskan penularan dengan sebaiknya,” tambah beliau.
#Ikatan Komuniti Selamat #Kementerian Kesihatan #kesihatan #Lee Lam Thye #Malaysia #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKP #PKPP