Sel kanser payudara lebih agresif serang lelaki - Pakar

Bernama
April 1, 2021 16:54 MYT
Secara purata dianggarkan sekurang-kurangnya seorang pesakit lelaki didiagnos menghidap penyakit kanser payudara setiap tahun. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Sel kanser payudara yang menyerang kaum lelaki didapati lebih agresif berbanding dihidapi wanita malah boleh membawa maut, kata Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.
Beliau berkata, secara purata dianggarkan sekurang-kurangnya seorang pesakit lelaki didiagnos menghidap penyakit kanser payudara setiap tahun.
Katanya, sebanyak 10 pesakit kanser payudara lelaki dilaporkan di Kelantan dalam tempoh 10 tahun dan hanya seorang masih bertahan dan meneruskan rawatan susulan berkala manakala yang lain telah meninggal dunia selepas setahun menghidap penyakit itu.
"Kurang kesedaran atau stigma golongan lelaki yang beranggapan penyakit itu dimonopoli golongan wanita, namun secara tidak sedar, lelaki sebenarnya menghadapi risiko lebih tinggi.
"Kebanyakan daripada mereka datang mendapatkan rawatan ketika kanser berada dalam keadaan teruk iaitu pada tahap tiga dan empat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tautan Kasih Kelab Kanser Payudara (KEDARA) yang disempurnakan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan dihadiri 100 peserta di Hotel Perdana, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Dr Imi Sairi berkata, lebih 8,000 pesakit kanser payudara termasuk golongan wanita dan lelaki dikenal pasti di negara ini setakat tahun lepas.
Menurutnya, di HRPZ II secara purata terdapat 150 pesakit yang berdaftar dan disahkan menghidap penyakit tersebut dalam setahun.
"Memang tidak dinafikan, pesakit yang datang mendapatkan rawatan adalah mereka yang membuat pilihan terakhir selepas mendapatkan rawatan dengan bomoh secara 'belah batin' dan minuman penawar yang dikatakan boleh menyembuhkan penyakit itu.
"Dalam masa sama, masyarakat juga perlu peka dan berhati-hati dengan sebarang produk atau suplemen serta klorofil untuk mengubati kanser, tetapi sebenarnya produk itu boleh merangsang pertumbuhan sel kanser," katanya. - BERNAMA
#payudara #kanser payudara #Hospital Raja Perempuan Zainab II #golongan lelaki #belah batin #Dr Imi Sairi Ab Hadi
;