Sekuriti makanan: USAS buka peluang belia tingkat kemahiran di sektor pertanian

Aida Aziz
Ogos 12, 2022 07:30 MYT
Haslina bertukar dokumen dengan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USAS Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara USAS dan MAFI. - Foto USAS
KUALA KANGSAR: Ketika pakar ekonomi menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan makanan, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini membuka pintu dengan menawarkan peluang bagi belia meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pertanian.
Naib Canselornya Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, potensi yang ada pada bidang agromakanan sememangnya besar, lebih-lebih lagi ketika dunia sedang berdepan dengan pelbagai krisis ketika ini.
"Kita perlu sama-sama mencari jalan penyelesaian dan merebut peluang yang ada dengan berkecimpung dalam bidang agromakanan.
"Kini para belia boleh meningkatkan diri dalam bidang pertanian khususnya dalam agromakanan dengan mengambil Ijazah Sarjana Muda Industri Pertanian di USAS.
"Malah mereka yang mempunyai diploma dari Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) boleh menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di USAS dalam masa yang lebih singkat melalui kaedah 'transfer credit'", katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian setelah menandatangi perjanjian persefahaman (MoU) antara USAS dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, baru-baru ini.
MAFI diwakili Ketua Setiausahanya Datuk Haslina Abdul Hamid dengan disaksikan Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Turut hadir di majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar USAS, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.
Tambah Nordin, USAS menawarkan program yang melibatkan pelbagai bidang termasuk ternakan, pertanian, aquakultur, unggas dan vertical farming.
"Program bermula dua tahun lalu, malah USAS menyediakan sebidang tanah seluas 250 ekar untuk dijadikan Agriculture Industry Laboratory (UAIL) bagi program pertanian di universiti tersebut.
"Dengan termeterainya MoU ini, kedua-dua belah pihak akan saling membantu menjayakan objektif melahirkan pekerja mahir dan usahawan dalam bidang agromakanan, pengamalan teknologi terkini secara berterusan," katanya.
MAFI melalui Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP) akan bekerjasama dan memudah cara latihan pelajar-pelajar yang mengikuti program pertanian di USAS.
Sementara itu, Ronald berkata, mentaliti warga tempatan terhadap bidang pertanian, antara sektor yang digambarkan sebagai 3D iaitu dirty (kotor), dangerous (bahaya) dan difficult (sukar), perlu dikikis.
"Sebaliknya sektor ini menyediakan peluang yang luas untuk diteroka dan memberi pulangan lumayan, apatah lagi disokong dengan ilmu dan penggunaan teknologi canggih.
"Maka seharusnya para belia merebut peluang keemasan ini,” katanya.
#Belia #pertanian #USAS #Agromakanan
;