Sekuriti makanan: Perak SADC sedia RM306 juta peruntukan 2023
Astro Awani
September 21, 2022 04:15 MYT
September 21, 2022 04:15 MYT
IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) komited untuk memacu kelestarian sekuriti makanan melalui penyediaan peruntukkan berjumlah RM306 juta bagi pada tahun 2023.
Menurut kenyataan Perak SADC, jumlah keseluruhan peruntukan itu merangkumi dua segmen iaitu melibatkan projek pelaburan serta program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat negeri Perak.
“Antara fokus peruntukan tersebut melibatkan program-program sekuriti makanan dalam industri penternakan dan pembekalan lembu pedaging, ternakan ayam, penanaman durian, makanan haiwan ternakan serta pelaburan strategik Perak SADC di dalam industri-industri strategik sekuriti makanan Perak khususnya dan negara amnya.
“Manakala di bawah Program CSR, antara projek yang akan dilaksanakan merangkumi program Smart SBB Padi, Program Keusahawanan Perak SADC, Akademi Sekuriti Makanan serta Community Farming,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, semua projek yang dilaksanakan antara Perak SADC bersama jabatan serta agensi kerajaan, bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi keperluan makanan penduduk negeri malah ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadi pembekal utama makanan negara.
Menurut kenyataan itu lagi, jumlah perbelanjaan dan pelaburan bagi tahun 2023 dijangka sebanyak RM2.037 bilion termasuk cadangan pembelian ladang baharu.
Katanya, kesemua pelaburan ini, dijangka dapat meningkatkan pendapatan dan keuntungan Perak SADC untuk jangka masa panjang.