Sekuriti makanan: Perak gembleng semua agensi untuk stabil pengeluaran - MB
Abd Razak Mohd Ali
Mei 31, 2022 15:29 MYT
Mei 31, 2022 15:29 MYT
IPOH: Kerajaan negeri Perak menggembleng kerjasama semua agensi pertanian untuk menggerakkan pelbagai inisiatif ke arah jaminan dan kestabilan pengeluaran makanan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri juga telah menggerakkan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) untuk memperkasakan bidang sekuriti makanan.
Dalam masa sama, katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Perak SADC diminta memainkan peranan dengan memanfaatkan segala kapasiti yang ada untuk membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi suasana yang sukar dan mencabar.
“Saya harap inisiatif dan pendekatan sebegini dapat diteruskan sehingga bekalan di pasaran benar-benar dapat dipulihkan,” katanya ketika berucap pada Program Agrofest Raya SADC 2022 di Taman The Treasure @ Taman Herba di sini, hari ini.
Menurutnya, antara inisiatif yang dilakukan agensi-agensi berkenaan ialah mengoptimumkan pengeluaran hasil tanaman dan ternakan bagi memastikan kekurangan produk ternakan yang sedang berlaku di negeri lain tidak merebak ke Perak.
Beliau memberi contoh penganjuran Perak SADC Agrofest Raya yang diadakan sejak 28 Mei lalu telah mengadakan jualan 1,800 ekor ayam segar standard pada harga RM4 seekor, jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
Selain itu, kata beliau, Perak SADC dengan kerjasama Kedai Bergerak Negeri Perak juga meneruskan program jelajah ke setiap mukim dan daerah dengan menjual produk-produk makanan dengan tawaran harga lebih rendah selain diskaun antara 10 hingga 20 peratus.
“Alhamdulillah, inisiatif ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan oleh rakyat khususnya golongan B40 yang sangat terkesan susulan kenaikan harga barang makanan,” ujarnya.
Beliau berharap inisiatif dan pendekatan sedemikian dapat diteruskan sehingga bekalan di pasaran benar-benar dapat dipulihkan.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau memberitahu, setakat ini bekalan makanan, termasuk ayam, di Perak adalah mencukupi.
Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa bimbang jika ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyorok barangan keperluan makanan.
“Dahulu, sekarang saya tidak pasti, ada di kalangan peniaga yang mengambil kesempatan, dia tahu permintaan sangat tinggi, bekalan kurang.
“Jadi cara dia untuk menaikkan harga ialah dengan menyimpan barang itu sehingga ia diminta dengan harga yang ditetapkan oleh pembeli, itu bahaya,” katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan negeri juga bersedia membantu mana-mana pihak yang ingin menggunakan tanah-tanah sewaan sementara (TOL) bagi pertanian atau penternakan.
Bagaimanapun, kata beliau, ia perlu dilakukan mengikut prosedur supaya ia boleh diurus dengan baik, disamping mengelakkan pencerobohan atau penerokaan haram.