Sekuriti Makanan: Jawatankuasa Kabinet pertimbang lapan kertas kerja, empat untuk kelulusan

Bernama
Oktober 26, 2023 08:45 MYT
Fadillah mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang bersidang di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, 25 Okt 2023. - Facebook Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) yang bersidang semalam mempertimbangkan lapan kertas kerja melibatkan empat kertas untuk kelulusan dan empat kertas makluman.
Sesi mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof, dengan memberi tumpuan terhadap usaha memperkasakan sekuriti makanan negara menerusi pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi.
Ini termasuk Projek Industri Tenusu Negara melalui Projek Pembangunan Ladang Tenusu Integrasi di Chuping, Perlis serta cadangan pelaksanaan Pembajaan dan Pembekalan Baja Bio dan Organik bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan melalui kementeriannya sedang melaksanakan pelbagai inisiatif khususnya dalam bidang teknologi, pemodenan dan rantaian nilai bagi meningkatkan produktiviti sektor agromakanan, antaranya menerusi Strategi Pembangunan Industri Nanas dengan penyusunan semula sistem galakan pasaran eksport sedia untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing.
"Bagi meningkatkan produktiviti komoditi bernilai tinggi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat memperluaskan skop Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan turut mengetengahkan komoditi bernilai tinggi lain seperti kelapa dan durian.
"Melalui inisiatif ini, ia dijangka membantu mengurangkan defisit perdagangan di sampingmemperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi variasi benih penanaman dalam negara serta meningkatkan prestasi eksport produk hiliran berasaskan pertanian dan merancakkan aktiviti pengeluaran makanan secara domestik," katanya dalam kenyataan semalam.
Selaras dengan hasrat membangun Malaysia MADANI, Mohamad berkata adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan tahap keterjaminan makanan negara stabil dan lestari seiring dengan konsep Sekuriti Makanan Tanggungjawab Bersama.
"Justeru, jawatankuasa ini mencerminkan komitmen utuh kerajaan dalam memperkukuh sekuriti makanan negara ke arah peningkatan produktiviti, penjanaan pendapatan, potensi teknologi pertanian sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat," katanya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata kerajaan akan memastikan pendekatan proaktif sentiasadilaksanakan dalam menganalisis dan mengenal pasti strategi, inisiatif baharu, serta merangka intervensi yang lebih komprehensif dan strategik dalam menjamin kemampanan bekalan input agromakanan dan produktiviti pengeluaran makanan negara.
-- BERNAMA
#sekuriti makanan negara #Fadillah Yusof #Dasar Sekuriti Makanan Negara #Mohamad Sabu
;