Sekuriti makanan: ANGKASA dan NAFAS terajui ternakan ayam daging negara

Amir Hamzah Nordin
Jun 15, 2022 19:13 MYT
Abdul Fattah (2 dari kanan) dan YDP Majlis Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris (2 dari kiri). - Foto Astro AWANI
JERANTUT: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan menerajui bidang penternakan ayam sebagai menjamin sekuriti makanan negara.
Kedua-dua pertubuhan masing-masing yang mempunyai seramai lapan juta dan sejuta anggota melalui 14,835 koperasi diyakini dapat membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan negara.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, ANGKASA mensasarkan sebanyak 30 juta dan NAFAS sebanyak 148 juta ekor pengeluaran ayam daging setahun.
“ANGKASA diarahkan menerajui program ternakan ayam daging dan setiap pusingan dapat menghasilkan 30 ekor juta ayam dan memohon pinjaman untuk pengurusan program ini.
“Selain itu, untuk mengawal harga ayam dan juga makanan untuk ternakan di bawah tanggungjawab ANGKASA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Kakitangan Majlis Daerah Jerantut (KOMADA) kali ke-7 di Dewan Majlis Daerah Jerantut, hari ini.
“Bagi tujuan itu, NAFAS mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.
“Manakala ANGKASA pula mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya lagi.
Beliau turut menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan ANGKASA dan NAFAS supaya lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam.
“ANGKASA menyambut baik inisiatif tersebut selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang mahukan kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam,” katanya.
Tambahnya, anggota koperasi juga perlu berperanan dan bertangungjawab ke atas koperasi masing-masing dengan mempelbagaikan perniagaan yang memberi keuntungan kepada koperasi.
“Sebagai contoh, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), koperasi yang terbabit dengan industri pelancongan dan penginapan mengalami cabaran yang besar tanpa kehadiran pengunjung.
“Oleh itu koperasi kena berfikiran lebih kreatif untuk mempelbagaikan perniagaan masing-masing bagi menjana pendapatan,” katanya.
Selain itu katanya koperasi perlu bergabung dengan beberapa koperasi lain di bawah satu konsortium untuk mengukuh dalam perniagaan yang lebih besar dan serius.
#sekuriti makanan #Angkasa #NAFAS #ternakan ayam
;