'Sekurang-kurangnya Khairuddin, Matthias dibenarkan untuk dibicarakan' - Salleh
Astro Awani
Oktober 12, 2015 18:27 MYT
Oktober 12, 2015 18:27 MYT
Walaupun Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang ditahan, sekurang-kurangnya mereka dibenarkan untuk dibicarakan dan boleh membela diri.
Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diingatkan, zaman pemerintahannya menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri ke atas penentang dan pengkritik kerajaan di mana tidak ada perbicaraan diadakan.
"Semasa era Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, terdapat kes yang tetap mensabitkan kesalahan kepada beberapa orang yang bercakap benar.
"Dr Mahathir perlu ingat, kebenaran adalah sesuatu yang subjektif dan tidak semestinya mereka yang bercakap benar itu tidak melanggar undang-undang.
"Sebagai contoh, Marina Yusoff didapati bersalah dan dihukum di bawah Akta Hasutan 1948 pada tahun 2000 kerana hakim memutuskan bahawa hanya kerana bercakap benar tidak bermakna dia tidak melakukan jenayah.
"Di bawah Akta Hasutan, bercakap benar boleh membuatkan seseorang itu dipenjarakan, kerana itu mahkamah mengingatkan adanya pembelaan. Sekurang-kurangnya bekas naib ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang dibenarkan untuk dibicarakan di mana mereka boleh mempertahankan diri mereka dan akan dibebaskan jika mereka tidak bersalah.
"Sementara pada tahun 2001, sepuluh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan tanpa perbicaraan dengan dakwaan bahawa mereka adalah pengganas. Enam telah dibuat untuk berkhidmat dua tahun dalam tahanan dan namun akhirnya mahkamah membuat keputusan bahawa mereka bukan pengganas dan penahanan mereka adalah tidak sah," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia itu dalam catatan terbaru di laman blog sskeruak.blogspot.my http://sskeruak.blogspot.my miliknya.
Pada Isnin, beberapa pemimpin 'heavyweight' Barisan Nasional (BN) bersama-sama Dr Mahathir mengadakan sidang media menentang penahanan Khairuddin dan Matthias.
Antara yang hadir adalah Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas setiausaha agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada hari ini juga telah menetapkan 26 Okt untuk sebutan semula kes yang melibatkan Khairuddin dan Matthias untuk pihak pendakwa raya mengumpul bukti bagi meneruskan dakwaan terhadap kedua-dua individu tersebut di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012), SOSMA.
Kedua-dua mereka didakwa sengaja melakukan tindakan dianggap menjejaskan perbankan negara dan perkhidmatan kewangan.
Khairuddin sebelum ini, direman selama enam hari mulai 19 Sept mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.
Pada 23 Sept, Khairuddin ditahan semula di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah SOSMA 2012 atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh mensabotaj negara.
Matthias pula ditahan 8 Okt lalu selepas melawat anak guamnya, Khairuddin di balai polis Dang Wangi.
#akta hasutan
#Khairuddin Abu Hassan
#Marina Yusoff
#Matthias Chang
#Salleh Said Keruak
#SOSMA
#Tun Mahathir