Sekumpulan pelajar alami detik cemas, tiga rumah terbakar di Ipoh
Bernama
Mac 8, 2018 19:34 MYT
Mac 8, 2018 19:34 MYT
Sekumpulan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di sini mengalami detik cemas selepas rumah sewa yang didiami terbakar bersama dua buah rumah lagi dalam kejadian di Persiaran Cempaka Sari 9, Taman Cempaka di sini hari ini.
Menurut seorang daripada mangsa, M.Kuhen 22, kebakaran kira-kira 3.50 petang itu dipercayai berlaku akibat litar pintas di sebuah daripada bilik di tingkat atas.
"Ketika kejadian saya baru saja pulang dari kampus dan saya lihat rakan-rakan serumah sedang keluarkan barang-barang dari rumah, ketika itu juga api sedang merebak ke bilik sebelah.
"Keadaan memang kelam kabut, kami hanya sempat keluarkan barang-barang penting kemudian selamatkan diri," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Katanya, sewaktu kejadian, terdapat tiga atau empat rakannya berada di dalam rumah dan kini masih dalam keadaan trauma.
Dalam pada itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Subri Hussin pihaknya tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.53 petang.
Beliau berkata bomba dapat mengawal kebakaran dalam masa 15 minit selepas tiba di lokasi kejadian.
"Kebakaran ini tidak melibatkan mangsa kerana apabila tiba di lokasi kejadian, kesemua mangsa telah keluar menyelamatkan diri. Kita dapat maklumat awal kebanyakan mangsa merupakan pelajar.
"Dalam siasatan awal kita andaikan kebakaran bermula di rumah yang tengah, bagaimanapun punca sebenar kebakaran masih lagi dalam siasatan," katanya.
Jelas beliau, kemusnahan ketiga-tiga rumah tersebut dianggarkan antara lima hingga 100 peratus.
-- BERNAMA