Sektor tenaga hijau mampu tarik pelaburan langsung asing ke Malaysia
Bernama
Oktober 28, 2024 05:00 MYT
Oktober 28, 2024 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sektor tenaga hijau berpotensi besar untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia seiring dengan komitmen global terhadap sumber tenaga yang lestari.
Ahli Parlimen Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berkata, kerajaan harus menyedari bahawa permintaan dunia kini bergerak ke arah penyelesaian yang lebih mesra alam.
Program seperti RE100, yang mana syarikat antarabangsa berikrar untuk menggunakan 100 peratus tenaga boleh baharu, boleh menjadi pendorong utama bagi negara yang mampu menyediakan sumber tenaga bersih.
"Ini memberi peluang kepada Malaysia untuk menjadi peneraju dalam sektor hijau di rantau ASEAN.
"Melalui strategi pelaburan yang diselaraskan dengan keperluan alam sekitar dan sosial, kerajaan dapat memastikan pertumbuhan ekonomi yang adil serta memberi manfaat kepada generasi akan datang," katanya pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq turut menyeru kerajaan untuk memastikan langkah-langkah ekonomi yang dilaksanakan dapat menyokong pertumbuhan ringgit dengan konsisten.
Beliau mencadangkan kerajaan supaya menambah baik dasar fiskal dan mengurangkan kebergantungan terhadap import terutamanya berkaitan bahan makanan.
"Dengan mengurangkan import makanan, kerajaan dapat memberi peluang kepada petani tempatan untuk meningkatkan pengeluaran mereka, seterusnya menyokong ekonomi tempatan dan mengurangkan kos import.
"Saya juga ingin mencadangkan agar kerajaan mempertingkatkan sokongan terhadap sektor ini menerusi pelaburan 'teknologi pertanian digital (DAT)'," tambah beliau. - BERNAMA