Sektor tenaga ASEAN bersatu kurangkan pelepasan gas metana

Ian Johan Ariff
Jun 27, 2023 16:10 MYT
PETRONAS dan JOGMEC mengumumkan kerjasama dalam projek utama mengurangkan pelepasan gas metana. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bagi menangani pelepasan gas metana di rantau ini, Program Kepimpinan Metana Sektor Tenaga ASEAN (MLP) dilancarkan pada Isnin, di Persidangan Energy Asia Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Petronas turut mengumumkan kerjasama dengan Japan Organization For Metals and Energy Security (JOGMEC) untuk mencapai matlamat itu.
Turut hadir menyaksikan pelancaran MLP adalah Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menurut Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, Petronas, Datuk Bacho Pilong, keutamaan sekarang ialah untuk mempercepatkan usaha mengurangkan pelepasan gas metana oleh sektor tenaga di rantau ini.
“Usaha ini adalah bukti kepimpinan dan komitmen kami (sektor tenaga) dalam mengurangkan gas metana dengan lebih cepat.
“Idea utamanya adalah bagaimana kami dalam ASEAN dapat mencipta kesedaran, mendorong tindakan yang lebih berkesan, dan mewujudkan tanggungjawab yang lebih besar di kalangan pihak-pihak berkepentingan.” kata Datuk Bacho.
MLP menggabungkan syarikat-syarikat tenaga serantau dan organisasi berkepentingan iaitu Pusat Tenaga ASEAN (ACE), Majlis ASEAN bagi Petroleum (ASCOPE), JOGMEC, Methane Guiding Principles (MGP), PERTAMINA, PETRONAS, PTTEP, Bank Dunia, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pemerhati Pelepasan Metana Antarabangsa (UNEP IMEO), Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat dan Agensi Perdagangan dan Pembangunan Amerika Syarikat (USTDA).
Pada pelancaran MLP, syarikat tenaga serantau turut menandatangani Akujanji Metana Global.
Sementara projek pengurangan pelepasan metana Petronas-JOGMEC akan menyokong permintaan yang meningkat terhadap bekalan tenaga rendah karbon yang stabil, tanggungjawab negara terhadap Akujanji Metana Global yang selaras dengan komitmen Petronas terhadap inisiatif pembakaran rutin sifar (Zero Routine Flaring) Bank Dunia menjelang 2030, selain Oil and Gas Methane Partnership 2.0, program alam sekitar PBB UNEP.
“Bagi saya, sebahagian daripada objektif (penubuhan MLP) adalah bagaimana kita memperkuatkan pengurusan metana.
“Kita mempunyai rancangan yang jelas, sasaran yang jelas, dan usaha yang jelas untuk mencapai sasaran yang dirancang tersebut.” tambah Bacho.
Petronas sebagai syarikat minyak dan gas serantau Malaysia, mensasarkan pengurangan pelepasan gas metana sebanyak 25 peratus menjelang 2025 dan lebih 70 peratus lagi pada 2050.
Energy Asia: Sektor tenaga ASEAN bersatu kurangkan pelepasan gas metana
#Petronas #Energy Asia #Jogmec #MLP #Datuk Bacho Pilong #pelepasan gas metana
;