Sektor swasta perlu tingkatkan golongan wanita di peringkat pembuat keputusan - NCWO
Dania Zainuddin
Mac 9, 2016 20:08 MYT
Mac 9, 2016 20:08 MYT
Penyertaan golongan wanita di peringkat pembuat keputusan khususnya dalam sektor swasta di negara ini masih pada tahap lemah.
Menurut Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin, berbanding sektor kerajaan, sektor swasta dianggap masih jauh ketinggalan.
"Pada pendapat saya, ia adalah cara pemikiran. Pihak yang mempunyai kuasa untuk memilih ahli lembaga syarikat masih berasa golongan wanita tidak sesuai untuk dijadikan sebagai ahli lembaga.
"Saya rasa ia adalah kerana kekurangan pengetahuan mengenai sumbangan wanita. Banyak lebih usaha yang perlu diwujudkan supaya syarikat mengetahui kepelbagaian dalam ahli lembaga adalah sesuatu yang positif," kata Dr. Sharifah selepas menghadiri program 'Breakfast Talk' anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM)di sini, pada Rabu.
Tambahnya lagi, sektor kerajaan sudah melepasi sasaran dengan penyertaan 33 peratus golongan wanita di peringkat pembuat keputusan.
"Bagaimanapun, kita tidak boleh berasa selesa. Kami (Wanita) meliputi 50 peratus populasi di Malaysia. Kami telah menetapkan 30 peratus tetapi kini ia perlu ditingkatkan," kata Dr. Sharifah.
Program anjuran IIM kali ini membincangkan topik 'Peranan Wanita Dalam Pembudayaan Integriti' melibatkan Dr. Sharifah serta Ketua Pengarah Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif VOGUE Malaysia, Jamilah Hanim Othman.