Sektor swasta perlu mempunyai pegawai integriti juga- penasihat SPRM

Astro Awani
Januari 15, 2014 07:18 MYT
Syarikat swasta perlu mengikut jejak langkah sektor awam yang telah menempatkan pegawai integriti dalam organisasinya dalam usaha untuk memerangi rasuah, menurut penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Hadenan Jalil.
Hadenan berkata ini harus menjadi sebahagian daripada komitmen sektor swasta untuk meningkatkan 'integriti' di dalam sektor itu selain daripada menandatangani Ikrar Integriti Korporat.
"Pada masa kini , kita mempunyai pegawai-pegawai integriti dalam agensi-agensi kerajaan dan beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan ( GLC), saya fikir dalam sektor swasta kita pun boleh mengambil contoh ini dan melakukan apa yang sepatutnya, " kata Hadenan, yang merupakan pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, kepada Astro AWANI.
Hadenan, yang juga bekas Ketua Audit Negara dan merupakan ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat , berkata demikian semasa mengulas laporan KPMG "Penipuan, Sogokan dan Rasuah 2013"
Antara lain, kajian KPMG itu mendapati bahawa 90% daripada 100 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang mengambil bahagian dalam kajian itu menyatakan bahawa penipuan adalah sebahagian daripada kos perniagaan di Malaysia.
Laporan itu juga berkata bahawa hampir 80% daripada responden percaya bahawa rasuah telah meningkat sejak tiga tahun lalu dan 61% berkata bahawa syarikat-syarikat mereka tiada prosedur pemantauan yang mencukupi.
Sementara itu, Hadenan berkata terdapat keperluan untuk memantapkan keupayaan SPRM.
"Pada masa ini, kita memerlukan lebih banyak tenaga kerja dan pakar kerana ia agak sukar untuk memerangi rasuah di sektor swasta. Saya secara peribadi percaya bahawa jika kita tidak mempunyai kepakaran dari segi forensik perakaunan, dan undang-undang, ia adalah agak sukar untuk membuktikan kes-kes rasuah, " katanya.
Hadenan berkata terdapat juga keperluan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran melalui pendidikan.
SPRM telah meletakkan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), yang terdiri daripada pegawai SPRM dan pegawai kerajaan yang lain dalam beberapa agensi kerajaan.
Tugas utama pegawai-pegawai integriti adalah untuk mengesan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, pencegahan dan meningkatkan kesedaran.
Dalam ucapan beliau semasa membentangkan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Unit Pengurusan Integriti akan ditempatkan di setiap Kementerian kerajaan.
Ini adalah sebahagian daripada rancangan badan Tadbir Urus dan Integriti (G & I), badan yang diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low .
#Hadenan Jalil #integriti #pegai #Rasuah #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;