Sektor swasta harus sambut signal kerajaan, tingkatkan kadar upah pekerja secara munasabah - PM

Firdaus Azil
Oktober 16, 2023 09:40 MYT
Anwar berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini. - Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Sektor swasta, terutamanya majikan kepada syarikat yang memperoleh keuntungan yang tinggi setiap tahun, disaran meningkatkan kadar upah pekerja mereka secara munasabah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor berkenaan harus menyambut signal dari sektor kerajaan, yang sedang dalam proses menyiapkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, demi meningkatkan kesejahteraan penjawat awam secara keseluruhan.
Malah, kata Perdana Menteri, kerajaan juga masih mampu menyediakan Bayaran Insentif Awal kajian tersebut sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak, dan RM1,000 untuk pesara kerajaan, biarpun dalam kekangan kewangan yang sedang melanda negara.
“Untuk sektor swasta, kajian dari Jabatan Statistik Negara (DOSM) menunjukkan ada peningkatan produktiviti, tetapi kadar upah itu sangat sederhana. Jadi (seolah-olah) tidak memberi satu galakan kepada golongan pekerja.
“Sebab itu, sementara saya beri RM2,000 kepada penjawat awam, RM1,000 kepada pesara, sebagai tanda penghargaan kepada perkhidmatan mereka, kajian persaraan harus disiapkan. Dalam pertengahan tahun depan kena siapkan, supaya ada pengumuman penting dalam belanjawan akan datang.
“Tetapi saya minta (kepada) sektor swasta, kerana ada (pekerja) yang mengadu, syarikat untung sehingga RM400 juta setahun, tapi upah tak meningkat.
"Saya harap signal diberikan oleh kerajaan untuk berikan pengiktirafan kepada penjawat awam turut disambut sektor swasta, yang catat keuntungan baik. Berilah sedikit tambahan yang munasabah,” katanya lagi.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut mengingatkan warga penjawat awam, termasuk pengurusan tertinggi jabatan dan kementerian, untuk lebih proaktif dalam melakukan langkah penjimatan.
“Bazir-membazir ini kita selalu lihat yang besar, tetapi lupa cara kita guna elektrik di pejabat, macam ayah kita yang bayar.
"Cara guna pen (sebagai contoh). Pen ketua jabatan ada lima, Ketua Setiausaha Kementerian ada 10 (pen), KSN 12, Menteri 15, Perdana Menteri 20, atau tak sampai, saya ingat 18.
“Maknanya, kita kena ingat, ini merupakan dana awam. Kalau boleh ini perlu dinilai semula, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kena bantu, berikan peringatan ini, dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, jika penjimatan dana dapat dijadikan sebagai budaya, lebih banyak perbelanjaan kerajaan boleh diarahkan kepada pembangunan negara dan masyarakat.
#Anwar Ibrahim #penjawat awam #penjawat swasta #kadar upah
;