Sektor swasta disaran lebih fleksibel kepada kaum ibu - Khairy

Azyyati Ahmad
April 8, 2016 13:19 MYT
Menurut Khairy, pilihan kerja seperti bekerja dari rumah atau waktu kerja yang fleksibel dapat menangani gaya hidup masa kini kaum ibu yang berbeza dari zaman dahulu. - Foto Fail
Sektor swasta disaran menyokong keperluan ibu muda dengan menyediakan tempoh kerja yang lebih fleksibel bagi meningkatkan produktiviti kumpulan ini.
Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, setiap ibu yang bersara awal dalam bidang pekerjaan memberi impak besar kepada produktiviti ekonomi negara.
Menurut Khairy, pilihan kerja seperti bekerja dari rumah atau waktu kerja yang fleksibel bukan sahaja dapat membantu lebih ramai ibu untuk kembali bekerja malah menangani gaya hidup masa kini kaum ibu yang berbeza dari zaman dahulu.
Katanya dalam menentukan masa depan negara, kumpulan penggerak ekonomi perlu memandang jauh ke hadapan kerana Wawasan 2020 yang kini hampir ke penghujungnya.
“Penyertaan tenaga kerja bagi golongan wanita hanya 47 peratus, iaitu 80peratus lebih rendah daripada lelaki. Dua pertiga mengatakan sebab mengapa wanita Malaysia berhenti kerja adalah bagi membesarkan anak-anak.
“Penyertaan yang rendah ini memberi kesan kepada ekonomi secara keseluruhannya. Kiraan Bank Dunia juga menyatakan kita kehilangan 23 peratus dalam pendapatan per kapita kerana jurang jantina ini.
“Adalah penting sektor swasta memandang serius isu ini termasuk cuti bersalin (paternity leave) kepada kaum bapa,” katanya ketika berucap dalam majlis jamuan tengah hari Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), di ibu kota pada Khamis.
Dalam masa yang sama Khairy turut memuji tindakan syarikat komunikasi DIGI memberi cuti bersalin selama enam bulan bergaji kepada pekerjanya.
Khairy turut menyarankan agar sektor swasta mewujudkan pusat jagaan anak di tempat kerja bagi memudahkan golongan ibu.
Sektor swasta juga katanya perlu fokus terhadap lima perkara utama, iaitu kepelbagaian ekonomi, peningkatan produktiviti secara bertolak-ansur, membina sumber manusia bertaraf dunia, mencipta semangat keusahawanan dan bersedia dengan perubahan global.
#Khairy Jamaluddin #sektor swasta #wanita
;