Sektor swasta disaran amalkan 'work-life balance'

Dania Zainuddin
Oktober 31, 2017 18:26 MYT
Yatimah mahu sektor swasta mewujudkan persekitaran selesa bagi membolehkan setiap kakitangan menikmati keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.
Majikan di syarikat swasta disaran mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa serta kondusif bagi membolehkan setiap kakitangan menikmati keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan (work-life balance).
Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Datuk Yatimah Sarjiman berkata, sebagai contoh, para majikan sektor swasta boleh mengamalkan sistem waktu kerja anjal selain membenarkan pekerja bekerja dari rumah.
Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan para pekerja khususnya golongan wanita berasa seronok untuk bekerja sekali gus tidak mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
"Kita perlu mencari satu kaedah kreatif dan menggembirakan ketika melaksanakan kerja seperti bekerja dari rumah. Malah, syarikat-syarikat boleh mengambil pendekatan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah," katanya pada sidang media selepas melancarkan Forum Antarabangsa Keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan di sini pada Selasa.
Yatimah menambah, setakat ini, tiada peraturan mahupun undang-undang yang mewajibkan sektor swasta supaya melaksanakan keseimbangan antara kehidupan dan kerja.
"Ramai golongan wanita membuat keputusan berhenti kerja kerana menginginkan masa bersama keluarga. Dalam masa sama, mereka juga mahu terus bekerja jika diberi keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan," katanya.
Oleh itu, Yatimah berkata, pihaknya memperkenalkan beberapa inisiatif dan insentif termasuk tiga kaedah pengaturan kerja fleksibel iaitu bekerja dari rumah, waktu kerja anjal dan pemampatan kerja secara mingguan.
"Saya kira keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan ini penting kerana kakitangan wanita bekerja perlu memberi kasih sayang kepada anak-anak yang sedang membesar," katanya.
#Bekerja Dari Rumah #Datuk Yatimah Sarjiman #Jabatan Pembangunan Wanita #keluarga #keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan #swasta #waktu kerja anjal #wanita #work-life balance #Yatimah Sarjiman
;