Sektor pertanian, perikanan, penternakan rugi RM193.6 juta akibat banjir sejak dua tahun lalu

Hasimi Muhamad
Jun 13, 2023 18:35 MYT
Foong Hin berkata, daripada jumlah tersebut sektor pertanian, perikanan dan penternakan mengalami kerugian lebih RM90 juta kerana bencana banjir pada akhir 2021. - Foto fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM193.6 juta kerugian dicatatkan sepanjang tempoh dua tahun lalu melibatkan sektor pertanian, perikanan serta penternakan akibat bencana banjir yang melanda negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, daripada jumlah tersebut sektor pertanian, perikanan dan penternakan mengalami kerugian lebih RM90 juta kerana bencana banjir pada akhir 2021.
Kerugian tersebut membabitkan 7,578 pengusaha industri agromakanan di seluruh negara, katanya.
"Manakala kejadian banjir pada hujung 2022 akibat monsun timur laut pula telah menjejaskan seramai 8,166 golongan sasar melibatkan 13,244 hektar kawasan pertanian dengan anggaran nilai kerosakan sebanyak RM48.6 juta.
"Seramai 871 orang penternak akuakultur dan 81 pengusaha produk perikanan di seluruh negara telah mengalami kerugian berjumlah RM55 juta," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang minta menyatakan kesan perubahan cuaca, ancaman bencana alam, serangan penyakit dan perosak terhadap pengeluaran bahan makanan di negara ini sepanjang dua tahun lalu, serta langkah mitigasi yang telah diambil untuk mengurangkan impaknya terhadap sekuriti makanan negara.
Menjawab lanjut, Foong Hin berkata serangan penyakit juga menjejaskan produktiviti ternakan dan mengakibatkan kematian, selain meningkatkan kos operasi pengeluaran seperti kos utiliti dan kos makanan haiwan ternakan.
Bagi golongan sasar yang terkesan akibat bencana banjir pada penghujung 2021 dan 2022 pula, beliau berkata kementerian telah menyalurkan sebanyak RM45.9 juta melalui Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).
Selain itu, Foong Hin menambah sebanyak RM33.4 juta turut disalurkan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) meliputi bantuan kepada pesawah dan pengusaha padi terutamanya akibat serangan penyakit dan bencana alam.
Ujarnya lagi, kementerian sedang memantau rapat situasi cuaca panas agar bekalan makanan negara terus terjamin.
"Setakat ini semuanya dalam keadaan terkawal dan pihak kerajaan bersedia untuk mengambil langkah intervensi jika perlu bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi," katanya.
#bekalan makanan negara #Keselamatan makanan #kerugian akibat banjir #chan foong hin #Dewan Rakyat
;