Sektor perniagaan harap keberkesanan sebaran maklumat dipertingkat dan konsisten

Astro Awani
Mac 27, 2020 10:48 MYT
Langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan kerajaan ialah memastikan sebaran maklumat termasuklah inisiatif melalui pakej rangsangan dapat disebarkan secara berkesan.
Sektor perusahaan kecil dan seserhana (PKS) berharap sebaran maklumat mengenai langkah Perintah Kawalan Pergerakan dan skim bantuan kepada usahawan dapat disebarkan dengan berkesan demi memastikan kelangsungan operasi, terutamanya kalangan 14 sektor kritikal.
Jelas Penasihat dan Anggota Majlis Kehormat Persatuan PKS Malaysia Datuk Wira Jalilah Baba langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan kerajaan ialah memastikan sebaran maklumat termasuklah inisiatif melalui pakej rangsangan dapat disebarkan secara berkesan agar tiada pihak yang ketinggalan dalam usaha kerajaan memulihkan operasi perniagaan yang terkesan akibat COVID-19.
"Walaupun 14 sektor diberi kelonggaran, tetapi saya terima banyak permintaan untuk bantuan daripada pihak industri sepertti industri logistik kerana masalahnya ialah masalah practicality.
"Contohnya syarikat logistik yang bermasalah dengan cabaran sekatan jalan raya apabila mereka diminta menyerahkan dokumen kebenaran perjalanan apabila diminta polis yang mengadakan sekatan, sedangkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sudah mengeluarkan kelulusan secara blanket.
"Seterusnya kilang yang tidak sempat mohon kelulusan untuk teruskan operasi, mereka mahu memohon untuk dibenarkan terus beroperasi kerana mereka mengeluarkan produk yang dikategorikan sebagai keluaran kritikal," katanya.
Beliau juga berharap MITI menyediakan talian hotline bagi menjawab semua persoalan serta memberi penjelasan kepada kalangan peserta industri terutamanya membabitkan isu yang timbul sepanjang tempoh PKP.
Bekas Ketua Pengarah MIDA itu juga berharap masalah sama tidak berulang dalam perlaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang diumumkan hari ini.
"Ini adalah masalah praktikal yang perlu diselesaikan semua pihak dan kita mesti tingkatkan sebaran maklumat mengenai komuniti perniagaan serta konsisten dengan maklumat yang disampaikan kepada kepada pihak penguatkuasa seperti polis dan kastam," kata beliau yang juga merupakan Pengerusi Kumpulan PKT Logistics Group.
#COVID-19 #ekonomi #Jalilah Baba #koronavirus #MITI #PKS