Sektor perladangan rugi RM1 bilion sehari kerana kekurangan tenaga kerja Bangladesh - PAPSMA
Fareez Azman
Jun 6, 2022 19:12 MYT
Jun 6, 2022 19:12 MYT
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyeru agar kerajaan terutama Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dapat meluluskan kemasukan pekerja asing dari Bangladesh secepat mungkin.
Jelas Presidennya, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid, kekurangan tenaga kerja khususnya sektor perladangan mengakibatkan kerugian mencecah RM1 bilion setiap hari.
"Ekoran daripada itu, banyak pekebun pekebun kecil Bumiputra telah mengalami kerugian yang amat besar kerana kekurangan pekerja yang sesuai untuk menjalankan aktiviti memotong dan mengutip buah kelapa sawit.
"Sektor ekonomi yang paling terjejas ialah sektor perladangan di mana menurut kenyataan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada bulan Feburari 2022, sebanyak RM1 bilion hilang setiap hari di negara ini.
"Ini kerana buah kelapa sawit tidak dapat dituai mengikut masa yang sepatutnya akibat kekurangan pekerja asing yang telah pulang ke negara mereka dalam tempoh tiga tahun lalu," jelasnya.
Tambahnya, bagi memastikan isu kekurangan pekerja asing terutama dari Bangladesh, PAPSMA turut mencadangkan agar peluang membawa masuk pekerja harus diberikan kepada semua ahli Pertubuhan Ejen Rekrutment Antarabangsa Bangladesh (BARIA).
"PAPSMA memohon jasa baik Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing yang akan bersidang untuk meluluskan kemasukan pekerja asing dari Bangladesh melalui dasar dan polisi kerajaan Malaysia.
"Peluang untuk membawa masuk pekerja ini haruslah meliputi kesemua ahli-ahli BAIRA (Pertubuhan Ejen Rekrutment Antarabangsa Bangladesh) dan bukan hanya segelintir agensi seperti yang dilaung-laungkan baru-baru ini," jelasnya lagi.
Justeru, ujarnya, PAPSMA mengharapkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dapat melihat isu itu agar diselesaikan sekali gus memudahkan pemain industri merancakkan lagi ekonomi domestik.
"Kami adakan sidang media ini untuk membuat rayuan kepada Datuk Seri Ismail Sabri atas permasalahan kita hadapi dalam pemilihan agensi daripada pengrekrutan pekerja Bangladesh di Malaysia.
"Perdana Menteri mempunyai wawasan terutama tiga minggu lepas, apabila mengumumkan penghapusan AP makanan, itu langkah berani bagi menangani pemasalahan inflasi menghantui rakyat Malaysia ketika ini.
"Jadi kita harap ihsan pucuk pimpinan sebegini untuk selesaikan isu ini," katanya lagi.
Sementara itu, bagi Setiausaha Agung PAPSMA, Dr Sukumara Nair pula berpendapat, tindakan segera perlu diambil oleh kerajaan dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Ia termasuk memberi peluang kepada syarikat-syarikat agensi pekerjaan berlesen C di negara ini untuk menjalankan urusan berkenaan dengan lebih efektif.
"Kami dari sektor perniagaan yang diberikan lesen oleh kerajaan, kami diminta untuk berurusan dengan agensi rekrut dari luar negara.
"Tetapi saya lihat di sini seolah-olah Kerajaan Malaysia juga berminat untuk berurus niaga dengan agensi rekrut luar negara.
"Kami menjadi keliru dan apa gunanya kami diberikan lesen sebagai pemain industri, peneraju pasaran yang boleh jalankan urusan ini dengan lebih efektif," katanya.
Justeru, PAPSMA merayu agar tindakan itu disegerakan dalam mengelakkan lebih banyak kerugian terpaksa ditanggung pemain industri di negara ini akibat kekurangan tenaga kerja asing.
"Apa yang PAPSMA mahu suarakan kepada kerajaan agar dapat memberikan keutamaan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kepakaran seperti kami di luar sana.
"Kebanyakan majikan yang inginkan pekerja asing melalui kami, kami mudahkan urusan untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan.
"Terbaharu, sejak dua bulan lalu, kelulusan telah diberikan. Tetapi dilihat seperti persefahaman antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) belum lagi selesai sepenuhnya," katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan telah mengadakan lawatan serta mesyuarat pertama Kumpulan Kerja Bersama (JWG) ke Bangladesh bagi membincangkan isu terbabit.
Difahamkan negara berdepan kekurangan melebihi 2 juta pekerja asing dalam pelbagai sektor khususnya perladangan, pemnbuatan, perkhidmatan dan sektor 3D (Kotor, Bahaya dan Sukar).