Sektor perkhidmatan kekal dominasi ekonomi Melaka - Ab Rauf

Bernama
Ogos 25, 2024 22:15 MYT
Ab Rauf berkata Melaka berjaya menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik sebanyak RM6 bilion pada 2023, dengan RM2.38 bilion diterima sehingga Mac 2024. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
MELAKA: Sektor perkhidmatan kekal mendominasi ekonomi Melaka dengan menyumbang sebanyak 51.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata ini diikuti sektor pembuatan dan pertanian, masing-masing menyumbang sebanyak 36.1 peratus dan 10.3 peratus.
Katanya kadar inflasi terkawal iaitu 2.4 peratus sejajar dengan kadar nasional sebanyak 2.5 peratus.
"Kadar pengangguran di Melaka juga berada pada paras terkawal iaitu 2.2 peratus berbanding 2.3 peratus di peringkat nasional manakala ekonomi negeri berkembang pada kadar sederhana sebanyak 3 peratus pada tahun lepas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Ab Rauf berkata selaras dengan hasrat kerajaan Persekutuan dalam menempatkan Malaysia di bawah senarai 12 ekonomi terbaik dunia, Melaka melaksanakan prinsip memudahkan menjalankan perniagaan dengan mewujudkan inisiatif Melaka Industrial Booster (MIB) di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata Melaka berjaya menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik sebanyak RM6 bilion pada 2023, dengan RM2.38 bilion diterima sehingga Mac 2024.
Katanya kerajaan negeri sebelum ini menerima maklum balas positif daripada syarikat ATX Semiconductor, pemain industri elektrik dan elektronik ketujuh terbesar dunia yang ingin memperluas operasinya ke Melaka.
Beliau berkata ini melibatkan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM2.4 bilion sekali gus mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.
"Menerusi kawasan industri baharu, German Technology Park (GTP), kerajaan negeri bakal menganjurkan German Week iaitu Deuster Brand Summit (DBS) 2024 yang dijangka berlangsung pada Oktober ini.
"Program yang julung kali diadakan ini merupakan langkah proaktif untuk mempromosikan German Technology Park selain menjadi platform untuk menghimpunkan pemain industri dari Jerman dan domestik," katanya.
Sementara itu, Ab Rauf berkata lebih 2,000 rakyat Melaka dan pemastautin yang tinggal di negeri itu menebus tiket percuma ke lima lokasi pelancongan di negeri itu sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Yang Dipertua Negeri Melaka yang bermula semalam hingga 31 Disember ini.
Katanya penebusan tiket percuma itu boleh dilakukan menerusi laman sosial rasmi Kerajaan Negeri Melaka Channel Telegram, MyMelaka News.
-- BERNAMA
#KDNK #Inflasi #pelaburan langsung asing #laman sosial