Sektor perdagangan borong, runcit cecah RM150 bil pada Okt 2024 - DOSM

Nina Rozman
Disember 11, 2024 13:15 MYT
Menurut DOSM, pertumbuhan ini melebihi 5.0 peratus kenaikan pada bulan September, memberi isyarat akan daya tahan sektor itu dalam persekitaran ekonomi yang stabil. -Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia melakar rekod baharu pada Oktober 2024 apabila mencatatkan nilai jualan RM150.1 bilion, dengan peningkatan 5.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ringkasan AI
  • Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan RM150.1 bilion pada Oktober 2024, meningkat 5.5% berbanding tahun sebelumnya.
  • Pertumbuhan didorong oleh peningkatan dalam perdagangan runcit (7.1%), perdagangan borong (4.8%), dan kenderaan bermotor (2.7%).
  • Pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan pengguna semasa musim perayaan, peningkatan jualan runcit makanan, minuman, tembakau, dan jualan melalui internet.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan ini melebihi 5.0 peratus kenaikan pada bulan September, memberi isyarat akan daya tahan sektor itu dalam persekitaran ekonomi yang stabil.
Laporan tersebut mendedahkan lonjakan dalam jualan didorong oleh prestasi kukuh merentas subsektor perdagangan runcit, perdagangan borong dan kenderaan bermotor.
Perdagangan runcit mendahului carta, meningkat sebanyak 7.1 peratus kepada RM64.9 bilion, manakala perdagangan borong menyumbang RM66.3 bilion, dengan kenaikan 4.8 peratus.
Subsektor kenderaan bermotor juga menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif, dengan pertumbuhan 2.7 peratus kepada RM18.9 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, menjelaskan pemacu utama di sebalik prestasi pada kali ini.
"Perdagangan runcit telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa, didorong oleh pertumbuhan menyeluruh merentas segmennya.
“Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan meningkat sebanyak 8.5 peratus, manakala jualan runcit makanan, minuman dan tembakau melonjak sebanyak 9.0 peratus, menterjemah perbelanjaan pengguna yang kukuh semasa musim perayaan," katanya.
Tambahnya lagi, angka pertumbuhan Oktober juga dipengaruhi oleh faktor bermusim, seperti sambutan Deepavali, cuti sekolah dan penganjuran acara seperti siri jelajah jualan Mega Agro Madani, yang menyumbang kepada peningkatan trafik dan jualan, memberi suntikan positif kepada pertumbuhan perdagangan runcit.
Kata beliau lagi, perdagangan borong turut menunjukkan prestasi yang kukuh, dengan kenaikan ketara daripada jualan borong makanan, minuman dan tembakau, naik 8.9 peratus, di samping perolehan dalam jualan borong jentera, peralatan & bekalan (naik 8.3 peratus) dan jualan borong bahan mentah, pertanian dan haiwan hidup (naik 7.9 peratus).
“Subsektor perdagangan borong terus menjadi tunjang ekonomi, didorong oleh peningkatan permintaan untuk barangan keperluan dan barangan bernilai tinggi," katanya.
Beliau turut menjelaskan isyarat pemulihan dalam subsektor kenderaan bermotor, yang menunjukkan pertumbuhan kukuh merentasi pelbagai segmen.
Jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal khususnya mencapai pertumbuhan impresif 20.7 peratus tahun ke tahun.
Selain itu, jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaraan serta pembaikan kenderaan bermotor mencatatkan peningkatan ketara, masing-masing meningkat 9.8 peratus dan 9.3 peratus.
Di samping itu, jualan runcit melalui internet meneruskan momentum positif pada Oktober, dengan indeks jualan runcit naik 5.1 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada 3.0 peratus pada September.
Bagi indeks pelarasan musim, ia menyaksikan peningkatan 0.5 peratus bulan ke bulan, mencerminkan permintaan yang mampan dalam pasaran digital.
Indeks volum perdagangan borong dan runcit, yang diselaraskan untuk perubahan harga, juga meningkat sebanyak 5.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Mohd Uzir menambah, sektor perdagangan borong dan runcit dilihat akan terus memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan persekitaran ekonomi yang menggalakkan.
"Dengan sokongan berterusan daripada dasar kerajaan yang praktikal dan aktiviti pengguna yang rancak, kami menjangkakan aliran menaik ini akan berterusan, memacu pertumbuhan selanjutnya pada bulan-bulan mendatang," katanya lagi.
#Jabatan Perangkaan Malaysia #borong #runcit #perdagangan #Mohd Uzir Mahidin
;