Sektor pelancongan Terengganu dibuka secara rasmi mulai 1 September
Bernama
Ogos 30, 2021 13:48 MYT
Ogos 30, 2021 13:48 MYT
KUALA TERENGGANU: Sektor pelancongan di Terengganu akan dibuka secara rasmi kepada individu yang telah lengkap vaksinasi, mulai 1 September (Rabu) ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata pembukaan sektor pelancongan itu meliputi pulau peranginan terkemuka termasuk Pulau Kapas di Marang, Pulau Redang di Kuala Nerus dan Pulau Tenggol di Dungun, selain Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.
"Sebenarnya pulau-pulau telah dibuka awal bulan ini kepada individu yang lengkap vaksin tetapi aktiviti seperti 'snorkeling' dan 'diving' tidak dibenarkan, jadi ramai pengusaha memilih untuk tidak beroperasi.
"Oleh itu bermula 1 September ini aktiviti-aktiviti tersebut akan dibenarkan namun penggiat dan pelancong perlu mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Solat Hajat Pembukaan Semula Sektor Pelancongan Terengganu Dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sini, malam tadi.
Katanya antara SOP yang ditetapkan adalah hanya pelancong dalam negeri dan telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan dan pemilik premis perlu mematuhi protokol kesihatan umum bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19.
Ariffin berkata selaras dengan kebenaran pembukaan semula sektor pelancongan di negeri itu, inap desa dan hotel turut dibenarkan beroperasi, bagaimanapun, zoo, muzium, taman tema dan galeri seni masih tidak dibenarkan beroperasi.
Katanya, Pulau Perhentian juga tidak masih ditutup berikutan terdapatnya kes positif COVID-19 dalam kalangan penduduk di pulau tersebut, sejak minggu lepas.
Dalam pada itu, Ariffin berkata dengan slogan 'We Are Safe To Visit', kerajaan negeri akan sentiasa mempergiat aktiviti mempromosi produk pelancongan di Terengganu bagi menghidupkan kembali industri tersebut, termasuk di media sosial.
Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata berdasarkan data Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Terengganu mengenai kadar purata penginapan hotel bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, negeri ini berada pada tangga ketiga iaitu 35 peratus, selepas Sarawak (62 peratus) dan Perlis ( 42 peratus).
"Kadar penginapan hotel bagi Terengganu dipacu oleh program kuarantin hotel-hotel bagi pekerja sektor minyak dan gas yang perlu dikuarantin sebelum dan selepas pulang dari pelantar. Lebih kurang 16 daripada 36 hotel di Terengganu yang berdaftar dengan MAH terlibat dalam program kuarantin tersebut," katanya.
-- BERNAMA