Sektor pelancongan Sarawak dijangka pulih dalam waktu terdekat - Abdul Karim
Astro Awani
Mei 27, 2020 15:15 MYT
Mei 27, 2020 15:15 MYT
Sektor pelancongan Sarawak terutamanya membabitkan alam semula jadi dijangka kembali meningkat dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Keyakinan itu disuarakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Abdul Karim juga optimis pembukaan industri pelancongan secara berperingkat mampu memberi sinar baharu kepada pemain industri.
Bagaimanapun dia turut berharap agar pemain dalam industri terlibat untuk terus bersabar dalam menempuhi tempoh yang sukar ketika ini.
“Saya percaya dalam jangka masa terdekat ini apabila kesemua premis yang menawarkan perkhidmatan melibatkan sektor pelancongan dibuka semula, keadaan akan kembali seperti sedia kala.
“Sekiranya keadaan sudah kembali pulih pastinya mereka (pemain industri pelancongan) akan mampu menjalankan operasi perniagaan seperti biasa,” ujarnya.
Memahami situasi sukar yang terpaksa ditempuhi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Abdul Karim turut berharap pihak terlibat mempunyai perancangan rapi mengatur strategi kewangan.
Kementerian Pelancongan Sarawak sebelum ini telah menangguhkan semua acara yang ditaja dibawah kementerian itu susulan penularan wabak COVID-19.
Bagaimanapun status Rainforest World Music Festival (RWMF 2020) yang sepatutnya berlangsung Julai nanti masih belum diputuskan sama ada diteruskan atau ditangguhkan.
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
#Kuching
#pelancongan
#PKP
#Rainforest World Music Festival
#RWMF 2020
#Sarawak