Sektor Pelancongan Sarawak bangkit dalam tempoh 18 bulan - Abdul Karim

Astro Awani
Mei 8, 2020 14:52 MYT
Abdul Karim mengharapkan kerja sama daripada pemain industri bagi meyakinkan pelancong untuk berkunjung ke Sarawak - Foto BERNAMA
Sarawak diyakini mampu menbangunkan semula sector pelancongannya dalam tempoh 18 bulan akan datang.
Keyakinan itu disuarakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut Abdul Karim kementeriannya kini terpaksa menyusun atur kembali strategi selain melihat semula perancangan pembangunan sektor pelancongan negeri ini yang teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Fokus pertama kita ialah untuk menghapuskan rasa takut dalam kalangan umum untuk melancong dalam Malaysia termasuk di Sarawak,” kata Abdul Karim menerusi hantaran facebooknya pada Khamis.
Menurutnya lagi pihaknya juga kini perlu mengubah strategi pelancongan di luar negara.
“Sudah tentu kita memfokus kepada pelancongan domestik serta negara jiran seperti Brunei dan Singapura kerana rakyat negara itu juga mahu melancong ke destinasi yang tidak jauh,” jelasnya.
Beliau pada masa sama mengharapkan kerja sama erat daripada pemain-pemain industri bagi membantu meyakinkan pelancong dari negara-negara ini bagi memulihkan kembali sektor pelancongan Bumi Kenyalang.
#Abdul Karim #Brunei #COVID-19 #Malaysia #menteri #pelancong #pelancongan #rakyat #Sarawak #Singapura
;