Sektor pelancongan pulih, MOTAC manfaat Kepengerusian ASEAN 2025

Hasimi Muhamad
Disember 13, 2024 08:30 MYT
Sektor pelancongan negara telah kembali pulih ke tahap sebelum pandemik, dengan Januari hingga November tahun ini merekodkan ketibaan pelancong seramai 34.16 juta orang .- Foto/fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memanfaatkan peluang Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025 bagi melonjakkan industri pelancongan, sekali gus merancakkan ekonomi negara.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani, sektor pelancongan negara telah kembali pulih ke tahap sebelum pandemik, dengan Januari hingga November tahun ini merekodkan ketibaan pelancong seramai 34.16 juta orang.
Statistik terbaharu itu menunjukkan peningkatan sebanyak 5.6 peratus berbanding 32.35 juta pelancong yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2019.
"Memang dalam Sidang Kemuncak ASEAN, ia salah satu platform kepada kita untuk memberi peluang kepada masyarakat ASEAN dari 11 negara anggota untuk datang ke Malaysia dan merasakan keharmonian, destinasi dan makanan.
"Mereka yang datang juga menjadi platform untuk membantu kita mempromosi Malaysia apabila mereka pulang ke negara masing-masing," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI dan beberapa media di sini, baru-baru ini.
Pada tahun depan, Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN, yang mewakili blok ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan 680 juta penduduk.
Selain itu, King Sing berkata, berdasarkan jumlah kehadiran pelancong ketika ini, pihaknya yakin sasaran ketibaan pelancong asing seramai 35.6 juta orang bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dapat dicapai.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama daripada kerajaan negeri juga penting dalam meningkatkan infrastruktur bagi memberikan pengalaman yang berkualiti kepada para pelancong.
"Kita (kerajaan) akan bantu yang boleh kerana paling mustahak Kerajaan Negeri mesti bekerjasama untuk menarik taraf infrastruktur.
"Walau bagaimanapun, kita masih berbincang dengan Kementerian Ekonomi, macam mana boleh meningkatkan peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur di setiap negeri," jelas King Sing.
Selari dengan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong, beliau menjelaskan, keharmonian Malaysia perlu terus dikekalkan untuk menjamin kehadiran pengembara-pengembara asing.
Mengambil contoh Bangkok, Thailand, beliau berkata, rakyat di negara jiran itu menunjukkan sikap mesra dan meraikan kedatangan para pelancong.
"Paling mustahak juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mesti buat ubah suai dan naik taraf kawasan tumpuan pelancong seperti Jalan Petaling.
"Di Thailand, ada tempat yang mereka wujudkan sebagai 'food street'.... ada tempat untuk membeli-belah. Jadi, DBKL kena ubah dan menggalakkan pemilik-pemilik kedai dan berbincang dengan mereka kerana di Jalan Petaling begitu banyak kawasan yang hebat tetapi lorong-lorong di sana tidak dipromosikan," ujar beliau.
Mengikut statistik, lima negara utama penyumbang ketibaan pelancong asing ke Malaysia bagi tempoh Januari hingga November 2024 adalah Singapura (8.05 juta), Indonesia (3.27 juta), China (3.04 juta), Thailand (1.50 juta) serta Brunei (1.01 juta).
Bagi tempoh sama, negara telah mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM73.32 bilion hasil daripada ketibaan pelancong asing, dengan kenaikan sebanyak 48.8 peratus berbanding Januari hingga September tahun lalu.
#MOTAC #Sektor pelancongan Malaysia #Tiong King Sing #ASEAN
;