Sektor pelancongan Melaka dikhuatiri berdepan 'bad review' jika catuan air berterusan
Fareez Azman
Mac 8, 2020 19:56 MYT
Mac 8, 2020 19:56 MYT
Melaka yang kini menjadi tumpuan berikutan isu kemelut politik negeri, sebenarnya pada masa yang sama berdepan dengan krisis lain yang kian meruncing.
Melaka kini semakin resah dengan krisis air yang menjejaskan lebih setengah juta pengguna di negeri itu.
Bukan sahaja menyulitkan isi rumah, masalah itu sekali gus dibimbangi membawa impak negatif kepada sektor pelancongan.
Tinjauan Astro AWANI di sekitar Bandar Raya Melaka mendapati, catuan air berjadual terus dilakukan di kawasan pelancongan termasuk hotel, restoran, produk pelancongan negeri mahupun hospital swasta.
Menurut seorang pengusaha sebuah restoran di kawasan tumpuan pelancong di Jonker Walk, Khairul Azwal Zulkifli, 44, situasi catuan air kali ini paling terburuk dalam sejarah negeri itu.
"Kita sini (Melaka) menerima ramai pelancong luar negeri dan tempatan, mereka (pelancong) sedia maklum bahawa Melaka tiada air. Kawasan pelancongan sepatutnya kena kurangkan catuan.
"Perkara ini bukan sekali, minggu lepas pun tiada air. Sekarang ini pelancong dah kurang. Hari Sabtu pula dia (kerajaan) catu di kawasan pelancongan," keluhnya.
Lebih membimbangkan, jelasnya, sekiranya pelancong dari luar negara memberikan ulasan yang kurang memuaskan kepada tahap perkhidmatan mereka.
Demi menjaga nama perniagaan mereka, ada juga pengusaha dan pekerja restoran terpaksa membeli air daripada kawasan lain yang tidak dicatu semata-mata untuk memastikan keselesaan pengguna.
"Sini semalam (Sabtu) tiada air, boss saya beli dan ambil air dari Bertam. Kadang-kadang dibeli dari tempat lain untuk kegunaan restoran ini. Kita pun ada simpan air, tapi kalau air tidak bersih, kita guna untuk tandas sahaja.
"Untuk memasak semua memang pakai air bersih yang boss beli, memang susahlah untuk berniaga," kata Wiki Lye, 27, yang juga pembantu restoran di Jonker Walk.
Krew Astro AWANI yang membuat liputan perkembangan politik di negeri Melaka turut berdepan dengan situasi sama apabila bekalan air di hotel yang menjadi penginapan sejak 10 hari lalu turut dicatu.
Selain restoran, perniagaan yang boleh terjejas dengan ulasan buruk di media sosial atau di laman rujukan pelancongan adalah hotel, kediaman berservis, pusat transit pelancong dan lokasi tarikan lain.
Catuan air mengikut zon itu bermula sejak 29 Januari lalu dijalankan susulan paras air di Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, Empangan Jus dan Empangan Asahan di Jasin berada pada tahap 30 peratus.
Ia sekali gus melibatkan 550,673 pemegang akaun di negeri itu.