Sektor awam, swasta digesa bekerjasama usaha digitalisasi perkhidmatan, penyampaian - Perdana Menteri

Umavathi Ramayah
November 18, 2021 16:28 MYT
Ariffin Zakaria memberitahu, MSD membolehkan PNB mendekati segenap lapisan rakyat dengan kaedah lebih mudah iaitu menerusi akses di hujung jari mereka. - Gambar PNB
KUALA LUMPUR: Sektor awam dan swasta digesa untuk bekerjasama dan saling melengkapi antara satu sama lain dalam menyemarakkan usaha pendigitalisasi perkhidmatan serta penyampaian kepada rakyat.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan kolaborasi seperti itu, negara dapat melangkah ke ekonomi digital dengan yakin dan cukup bersedia.
"Melangkah ke hadapan, saya menyeru agar sektor awam dan swasta bekerjasama dan saling melengkapi antara satu sama lain dalam menyemarakkan usaha pendigitalisasi perkhidmatan dan penyampaian kepada rakyat.
"Insya-Allah, dengan kolaborasi seperti ini kita akan melangkah ke ekonomi digital dengan yakin dan cukup bersedia," katanya ketika berucap merasmikan Minggu Saham Digital 2021 (MSD 2021) Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang berlangsung secara dalam talian pada Khamis.
Perdana Menteri turut menyambut baik inisiatif PNB menganjurkan Minggu Saham Digital dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pengurusan kewangan.
"Saya menyambut baik inisiaif PNB menganjurkan MSD 2021 sekali lagi agi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang pengurusan kewangan.
"Pada hemat saya, ini adalah platform terbaik bagi rakyat Malaysia untuk sama-sama mempelajari tip mengurus kewangan, menabung dan melabur dalam suasana santai dan selesa bersama keluarga," katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Ariffin Zakaria memberitahu, MSD membolehkan PNB mendekati segenap lapisan rakyat dengan kaedah lebih mudah iaitu menerusi akses di hujung jari mereka.
"Strategi PNB dan rakan-rakan MSD menjayakan MSD selama lebih dua dekad ini telah membuahkan hasil dari segi penjenamaan dan peningkatan perniagaan, keberuntungan dan daya maju syarikat masing-masing.
"Khusus bagi PNB, pencapaian ini dicerminkan melalui peningkatan setiap tahun indikator-indikator
utama prestasi (KPI)," katanya.
Dalam pada itu katanya, sebagai strategi untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia meningkatkan pelaburan dalam unit amanah, ASNB, syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB, memperkenalkan satu lagi dana unit amanah harga berubah terbaharu, ASN Equity Global.
Menurutnya, setakat 15 November lalu, lebih 740 juta unit dilanggan melibatkan lebih 14,000 pelabur sejak ASN Equity Global ditawarkan pada 1 September lalu.
"Dana terbaharu ASNB ini merupakan yang pertama seumpamanya yang memberi tumpuan kepada ekuiti global. Melalui ASB Equity Global, kami menawarkan peluang kepada semua warga Malaysia untuk juga mempelbagaikan pelaburan mereka dalam pasaran antarabangsa denan modal permulaan yang berpatutan," katanya.
MSD 2021 bertemakan #laburbersama, membawakan pelbagai aktiviti menarik bertujuan mendidik dan meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai perancangan kewangan dalam format hibur didik, sambil berkongsi portfolio syarikat PNB dan operasi perniagaannya.
MSD 2021 yang bermula 18 hingga 24 November ini, adalah selaras dengan rancangan lima tahun Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan.
#Minggu Saham Digital #Permodalan Nasional Berhad #ismail sabri yaakob #pendigitalisasi
;