Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching berkata, skop itu termasuk penambahbaikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan pengenalan peruntukan kepada keperluan penyimpanan, pemeliharaan dan penzahiran data trafik.
"Kerajaan ada usaha untuk mengkaji Seksyen 233, yang tertumpu kepada aspek memastikan siasatan dijalankan lebih lancar selain penambahbaikan kepada SKMM dengan pengenalan peruntukan kepada keperluan penyimpanan, pemeliharaan dan penzahiran data trafik," katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian kepada soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang menyifatkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai bermasalah dan sering digunakan untuk tujuan politik.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal Syahredzan berhubung statistik bilangan individu yang disiasat mengikut seksyen berkenaan, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, SKKM menerima 2,855 aduan dari 2009 sehingga 28 Februari lalu.
Daripada jumlah itu, katanya, 58 peratus adalah aduan melibatkan kandungan lucah.
"Sebanyak 574 aduan (20 peratus) pula adalah melibatkan kandungan palsu, 546 aduan (19 peratus) adalah kandungan jelik dan baki 74 aduan (3%) adalah melibatkan kandungan mengancam dan sumbang," jelasnya.
Sementara itu, daripada jumlah itu, 108 kes, katanya, masih dalam siasatan dan 115 kes selesai didakwa di mahkamah.
"Sebanyak 40 kes lagi dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan yang berjumlah RM138,250 selain 84 kes dikeluarkan notis amaran dan 2,478 kes berstatus tiada tindakan lanjut (NFA).
"Kes-kes yang diklasifikasikan sebagai NFA adalah disebabkan tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan suspek dengan, kesalahan yang disiasat di bawah seksyen 233 Akta 588," kata Nie Ching.
Daripada 115 kes yang telah didakwa di mahkamah, 108 kes telah selesai dan dijatuhkan hukuman denda dengan nilai keseluruhan yang berjumlah RM1,040,000 dan sebanyak tujuh kes lagi sedang dalam proses perbicaraan.
"Sementara itu daripada 115 kes yang telah didakwa di mahkamah, 108 kes telah selesai dan dijatuhkan hukuman denda dengan nilai keseluruhan yang berjumlah RM1,040,000 dan sebanyak tujuh kes lagi sedang dalam proses perbicaraan.
"Sebanyak 46 kes adalah melibatkan kandungan lucah, kandungan sumbang(tiga), palsu (18), kandungan mengancam tiga) dan kandungan jelik (45)," ujarnya.