Seksyen 11 WCE mula laksana kutipan tol pada 24 Julai
Bernama
Julai 19, 2024 22:30 MYT
Julai 19, 2024 22:30 MYT
IPOH: Jajaran Seksyen 11 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Taiping Selatan-Trong-Beruas akan melaksanakan kutipan tol bermula 12.01 tengah malam pada 24 Julai ini.
WCE dalam kenyataan hari ini memaklumkan jajaran sepanjang 35.5 kilometer (km) itu beroperasi secara percuma sejak dibuka secara rasmi pada 12 Mac lepas oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Kutipan tol Seksyen 11 itu akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch N Go, Smart Tag (Plaza Tol Taiping Selatan dan Lekir sahaja) dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
"Kadar tol akan dikenakan mengikut kelas kenderaan bermula 94 sen hingga RM39.36," menurut kenyataan itu.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya memastikan baki e-wallet dan kad Touch 'N Go mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa melalui plaza tol.
Untuk maklumat lanjut mengenai kadar tol dan cara pembayaran, orang ramai boleh melayari laman sesawang WCE atau memuat turun aplikasi WCE App atau jika menghadapi sebarang masalah dengan pembayaran tol, boleh hubungi WCE infoline di talian 1700-81-6600 atau emel di info@wce.com.my.
WCE adalah projek lebuh raya utama di Malaysia sepanjang 233 km dari Banting, Selangor hingga ke Taiping Selatan (Changkat Jering) dan apabila siapa sepenuhnya ia akan berfungsi sebagai nadi penting pengangkutan yang menghubungkan bandar-bandar di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia.
-- BERNAMA
#Seksyen 11 WCE
#Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat
#laksana kutipan tol
#Taiping Selatan-Trong-Beruas