Sekretariat ditubuh elak pertindihan fungsi, jimat perbelanjaan negara - PM Anwar

Bernama
September 3, 2024 14:47 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan Bulan September di Kementerian Kewangan, hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi dan menjimatkan dana negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sekretariat itu juga akan memastikan tiada pegawai awam menggunakan jawatan yang disandang untuk melakukan perbuatan curang, selaras dengan usaha kerajaan melaksanakan 'reformasi' perkhidmatan awam.
"Cadangan untuk kita lakukan reformasi penjawat awam perlu diteruskan baik dalam kerajaan, badan berkanun, syarikat-syarikat kerajaan. Mereka memandang kedudukan sebagai satu habuan, mereka kadang-kala mempamerkan kemewahan dari dana rakyat, negara.
"Sebab itu pemantauan harus teliti. Saya telah putuskan baru-baru ini Kementerian Kewangan (MoF) membentuk jawatankuasa dua hala iaitu (jawatankuasa) mengemas kini rasionalisasi badan-badan berkanun," katanya pada Majlis Perhimpunan MoF di sini hari ini.
Anwar berkata oleh kerana jumlah badan-badan berkanun terlalu banyak dan bertindih serta sukar untuk dirasionalisasi, ia perlu dikurangkan dan dikemaskan.
Beliau berkata pada masa ini terlalu banyak pertindihan berlaku dalam fungsi badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan itu sehingga menyebabkan keterlanjuran kewangan dan mendorong ke arah perbelanjaan tidak terkawal.
"Badan berkanun itu terlalu banyak bertindih dan ketelanjuran, belanjanya pun banyak," katanya.
Perdana Menteri berkata langkah 'reformasi' itu termasuk pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah di badan-badan berkanun bagi memastikan tahap tatakelola pengurusan kewangan lebih baik.
"Apabila lantik pengerusi baharu, pertama pastikan (individu itu guna) kereta apa, (kenapa) pejabat diubah padahal pejabat itu sudah cantik. (Untuk) Pejabat Menteri Kewangan, saya kata tidak perlu tukar, tidak perlu pinda, ada dalam kalangan kita lupa, ini adalah amanah," katanya.
Selain itu Anwar berkata adalah tidak wajar bagi seseorang individu memegang terlalu banyak jawatan dalam organisasi dan mereka harus diberi latihan dari segi pengurusan dan kewangan.
Perdana Menteri berkata seorang pegawai MoF akan ditempatkan di badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan bagi memantau tatakelola dan pengurusan kewangan berhemah.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan #isu pertindihan fungsi #menjimatkan dana negara #penjawat awam
;