Sekolahku Sejahtera: Reformasi sistem pendidikan atau satu lagi retorik? Dialog Tiga Penjuru 8.30 malam ini

Israr Khalid
Februari 24, 2022 19:33 MYT
Maju atau mundur sesebuah bangsa itu berakar daripada sistem pendidikannya.
KUALA LUMPUR: Sudah tiga tahun institusi persekolahan berubah. Anak-anak tidak lagi belajar seperti dahulu, guru-guru tidak lagi mengajar seperti zaman sebelum pandemik COVID-19 melanda.
Namun selepas tiga tahun sistem terganggu, sehingga hari ini nampaknya masih banyak keserabutan yang masih belum dirungkai. Anak-anak, para guru dan ibu bapa, semuanya masih keliru dan pening.
Hakikatnya, pandemik ini telah membogelkan kecacatan dalam segala hal, termasuk sistem pendidikan negara kita yang selama ini kita anggap antara ‘yang terbaik di dunia’.
Walhal, sedar atau tidak, sistem pendidikan kita sebenarnya tidak benar-benar membudayakan proses pengajaran dan pembelajaran itu tetapi lebih kepada garis panduan ketat yang perlu diikut untuk seseorang itu diiktiraf sebagai ‘berjaya.’
Tidak keterlaluan untuk saya kata sistem pendidikan kita tidak jauh dengan penghasilan mesin, dan sekolah menjadi ‘kilang’ untuk menghasilkan ‘pekerja’ yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadikan negara ‘kaya’.
Selama ini kita diberi takrifan tentang kejayaan dan kemajuan itu adalah diukur pada wang, pangkat dan bangunan yang besar-besar, kerana itu sistem pendidikan kita adalah berteraskan kepada matlamat yang materialistik.
Biasa kita dengar ibu bapa dan guru berkata, “besar nanti jadi doktor, jadi jurutera, jadi arkitek,” semua profesion yang bergaji besar. Kita lupa bahawa yang menggerakkan dunia ini bukanlah mereka yang profesional sahaja.
Kita lupa yang manusia ini diciptakan dengan pelbagai keupayaan dan sistem pendidikan itu tidak seharusnya membezakan mereka yang berkeupayaan dalam akademik dengan mereka yang tidak.
Fungsi kewujudan ikan tidak boleh diukur dengan kebolehannya memanjat pokok andai beruk menjadi rujukan ‘kecemerlangannya’. Jika begitu sistemnya maka ikan itu akan selama-lamanya dilihat bodoh kerana tidak mampu berfungsi seperti beruk, walhal tempatnya di air.
Kita lupa semua ini kerana kita tidak prihatin dan memahami sebenar-benarnya falsafah pendidikan itu, yang akhirnya diterjemahkan kepada mekanisme pengajaran dan pembelajaran yang carca marba. Kita tidak tahu apa sebenarnya yang hendak dicapai dan ke mana sebenarnya hendak dituju.
Belajar itu tidak semestinya perlu memakai uniform, hadirkan diri ke bangunan sekolah, duduk di dalam bilik darjah dan menghadap guru mengajar di depan. Belajar itu adalah proses pemberian/perolehan input yang harus disusuli dengan pertukaran pendapat supaya tercetusnya proses berfikir dalam minda pelajar, malah guru itu sekali.
Apabila falsafahnya itu tidak difahami, kerana itu jadinya keserabutan hari ini. Yang disibukkan adalah buka atau tutup sekolah, dan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah yang kita panggil PdPR itu seperti satu ‘pelan sementara’ sehingga sekolah itu dapat dibuka sepenuhnya apabila pandemik mereda nanti.
Oleh kerana itu, kegagalan kita melenturkan sistem pendidikan ‘rigid’ ini untuk menyantuni perubahan drastik dunia menyebabkan anak-anak kita hari ini dipanggil sebagai ‘generasi yang hilang’ atau ‘the lost generation’. Walhal kita tidak sedar yang sebenarnya mereka jadi ‘lost’ kerana kita sendiri sebagai pemandu mereka yang ‘lost’.
Begitupun selepas tiga tahun pandemik melanda, kerajaan Malaysia hadir dengan konsep baharu pendidikan negara yang diberi nama Sekolahku Sejahtera, yang katanya mampu melahirkan generasi yang berdaya saing di peringkat dunia.
Berteraskan kepada 14 elemen iaitu selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi, ia menjadi konsep utama di sebalik PnP yang akan mula diterapkan dalam sesi persekolahan yang akan datang.
Sejak negara merdeka hingga hari ini, sudah banyak pelan pendidikan yang kita lihat dilancarkan oleh kerajaan. Maka apabila muncul satu lagi, kita tertanya-tanya mampukah konsep pendidikan baharu ini menyelesaikan pelbagai masalah seperti keciciran pelajar kerana keterbatasan kemampuannya untuk mengakses proses pembelajaran itu?
Bagaimana konsep ini dapat memberi makna baharu kepada pendidikan yang sepatutnya tidak lagi berasaskan satu-satu pedagogi atau skema yang tetap, tetapi lebih kepada keanjalan dan pembudayaan penerokaan idea supaya lahirnya generasi yang lebih kritis, kreatif, berani, berwibawa peribadinya serta berjati diri teguh sebagai manusia yang berbangsa, beragama dan bernegara?
Apakah Sekolahku Sejahtera ini adalah satu pemula kepada langkah mereformasi sistem pendidikan secara menyeluruh atau hanya satu lagi retorik politik yang dilaksana hanya untuk mengisi tuntutan KPI sebagai kerajaan, supaya dilihat ‘buat kerja’?
Kita bincangkannya di pentas Dialog Tiga Penjuru minggu ini, yang dibarisi para pemikir pendidikan negara iaitu penganalisis sosiobudaya dari USCI University, Prof. Dr. Mohd Tajuddin Mohd Rasdi; Ketua Pegawai Eksekutif Edvolution Enterprise, Melissa Tanya Gomes; dan pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM, Dr. Anuar Ahmad.
Malam ini jam 8.30 hanya di saluran 501 dan astroawani.com.
#Dialog Tiga Penjuru #pendidikan #pengajaran dan pembelajaran #pelajar
;