Sekolah vernakular: Lebih kepada isu politik
Teoh El Sen
Jun 17, 2013 11:17 MYT
Jun 17, 2013 11:17 MYT
Perbincangan hangat sama ada sekolah vernakular patut dihentikan tiada kaitan dengan pendidikan dan lebih terarah kepada isu politik, menurut penganalisis politik Khoo Kay Peng.
Khoo menambah permintaan kumpulan tertentu untuk mengkaji semula polisi pendidikan semasa di sekolah vernakular Cina dan Tamil berkait rapat dengan pemilihan jawatankuasa Umno yang akan datang.
"Isu ini akan dimainkan menjelang pemilihan jawatankuasa Umno. Ini bukan isu baru dan percubaan untuk meletakkan kesalahan kepada sekolah vernakular ini tentang terhakisnya integrasi kaum pernah diutarakan sebelum ini," jelas Khoo kepada Astro AWANI.
Beliau berkata kumpulan berkenaan cuba mengaitkan isu keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) namun ia bukanlah satu hal yang wajar.
"Keputusan PRU13 bukanlah isu kaum Melayu-Cina. Ia juga bukan tentang pemisahan bangsa atau ketegangan kaum. Ia adalah keputusan rakyat dalam penyelesaian politik yang mereka fikir dapat menjadi kerajaan yang lebih baik," jelas beliau.
Khoo menambah kumpulan pendidik Cina tidak lantang menyuarakan isu berkenaan dan tidak mengemukakan sebarang tuntutan.
"Permintaan ini (untuk memansuhkan sekolah vernakular) benar-benar meletakkan Malaysia terpisah dari segi kaum dan meningkatkan ketegangan. Satu perkembangan yang tidak sihat meletakkan pendidikan dalam debat politik," tambah beliau.
Beliau menjelaskan terdapat dua bentuk pemilihan dalam pemilihan jawatankuasa Umno dan pemerhati dapat melihat pemimpin yang menyokong fahaman yang tertentu.
"Ada pemimpin yang menyokong penyatuan dalam Barisan Nasional (BN), keahlian terus BN; dan kumpulan satu lagi menutup perkembangan idea dan menyarankan Umno untuk kembali fokus kepada bangsa Melayu."