Sekolah vernakular akan terus kekal - Kamalanathan
Astro Awani
Jun 14, 2013 11:14 MYT
Jun 14, 2013 11:14 MYT
Sekolah vernakular akan dikekalkan seiring pelan pembangunan pendidikan malaysia 2013-2025 bagi memartabatkan pendidikan negara.
Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan memaklumkan, kerajaan juga akan memastikan sekolah terbabit tidak dipinggirkan dan terus dibantu terutama dari segi infrastruktur.
Kamalanathan mengulas desakan gabungan 130 badan bukan kerajaan (NGO) agar kerajaan menghapuskan sekolah vernakular dalam usaha mempertingkatkan perpaduan rakyat.
Jelas beliau gesaan itu hanya bersifat pandangan peribadi NGO terlibat.
Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan penganjuran program berunsurkan pendidikan tambahan kepada anggota-beruniform dapat melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa negara.
"Saya yakin anggota-anggota pengakap yang mengikuti kursus-kursus tersebut akan dapat meningkatkan pengetahuan mereka, yang tidak dapat dipelajari di sekolah dan institusi pengajian tinggi supaya mereka lebih bersedia untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat pada masa hadapan" kata Kamalanathan.
Beliau berharap kerjasama itu akan menjadi contoh kepada badan-badan beruniform lain untuk memperkasakan anggota.