Sekolah tahfiz dalam institusi penjara akan diperluas ke seluruh negara

Bernama
Ogos 28, 2024 05:30 MYT
Abdul Aziz berkata, matlamat Jabatan Penjara mewujudkan sekolah tahfiz dalam penjara adalah untuk memulihkan akhlak dalam kalangan banduan dan ia bukan lagi cita-cita kosong. - Gambar Bernama
MACHANG: Jabatan Penjara bercadang meluaskan kelas atau sekolah tahfiz di semua institusi penjara seluruh negara susulan kejayaan pelaksanaannya di Kelantan dan Johor.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, Sekolah Tahfiz Al-Quran Al Furqan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang telah menjadi penanda aras kepada pelaksanaan sekolah tahfiz di kebanyakan institusi penjara lain.
Beliau berkata, untuk mengembangkan kelas atau sekolah tahfiz di institusi penjara di setiap negeri memerlukan kerjasama jabatan serta agensi agama Islam negeri seperti yang dilaksanakan di Kelantan.
"Saya dimaklumkan sekolah tahfiz di PPA Machang yang melibatkan 30 banduan telah menerima lawatan daripada pelbagai institusi penjara yang ingin mencontohi pengurusan serta operasi pengendalian sekolah ini.
"Oleh itu, kita tidak mahu usaha ini terhenti dan berhasrat ia dapat dikembangkan ke institusi penjara lain di negara ini," katanya kepada pemberita selepas Perasmian Program Marathon Huffaz Siri ke-3 2024, di sini, pada Rabu.
Abdul Aziz berkata, matlamat Jabatan Penjara mewujudkan sekolah tahfiz dalam penjara adalah untuk memulihkan akhlak dalam kalangan banduan dan ia bukan lagi cita-cita kosong.
"Saya menyeru kepada semua pihak terutamanya keluarga banduan agar tidak memandang rendah kepada mereka yang ingin berubah dan kembali ke pangkal jalan.
"Keluarga perlu terus memberi sokongan, peluang dan semangat untuk mereka bergelar hafiz sebaik dibebaskan kelak," katanya. - BERNAMA
#sekolah tahfiz #dalam penjara #pangkal jalan #memberi sokongan