Sekolah retak: Ibu bapa hargai keputusan Kementerian Pendidikan

Bernama
April 22, 2015 15:12 MYT
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Marzuki Zainal berkata keputusan itu dianggap jalan terbaik demi keselamatan guru dan pelajar. - Gambar Fail
Ibu bapa Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah yang mengalami keretakan teruk pada struktur bangunannya menghargai keputusan Kementerian Pendidikan memindahkan murid ke lokasi sementara.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Marzuki Zainal berkata keputusan itu dianggap jalan terbaik demi keselamatan guru dan pelajar.
"Sebagai wakil ibu bapa, saya mengucapkan terima kasih kepada kementerian Pendidikan. Saya berharap guru dan pelajar berada dalam keadaan selesa dan memuaskan di penempatan baru," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
BACA: SK Taman Sungai Besi Indah pindah ke premis sementara
Marzuki berkata rekahan pada bangunan bermula sejak penghujung tahun lepas, dan beberapa tampalan pada bilik darjah yang retak telah dibuat.
Namun rekahan baru lebih besar berlaku dipercayai kesan daripada kerja-kerja pembinaan kondominium mewah di kawasan berhampiran, katanya.
Semalam Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dalam satu kenyataan berkata premis sekolah sementara itu terletak dalam jarak 3 kilometer dari sekolah asal.
#Kementerian Pendidikan #PIBG #taman sungai besi indah #Yang Dipertua PIBG Marzuki Zainal sekolah