Sekolah pondok terbakar, pelajar tinggal sehelai sepinggang

Astro Awani
Januari 17, 2017 08:34 MYT
Bangunan asrama Pusat Pendidikan Islam Annur yang terbabit dalam kebakaran malam tadi. - Astro AWANI
Seramai 113 pelajar Pusat Pendidikan Islam Annur di Jalan Pantai Sepat-Kampung Kuala Penor di sini hilang tempat tinggal selepas asrama mereka musnah dalam satu kebakaran jam 8 malam tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan Suhaimi Ahmad berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu jam 8.20 malam.
Empat jentera dengan kekuatan 18 anggota dikerahkan ke tempat kejadian dan sebaik tiba, pihaknya mendapati api sudah marak dan memusnahkan hampir keseluruhan bangunan asrama itu.
Bomba cuba mengawal api daripada terus marak ke bangunan lain sementara penghuni asrama terbabit sempat menyelamatkan diri.
"Semasa sampai, api sudah pun marak di bahagian bumbung bangunan dan kerja-kerja operasi terus dilakukan.
"Anggaran kerugian yang boleh ditafsirkan awal adalah sebanyak RM350,000," kata Suhaimi.
Sementara itu, Mudir pusat pendidikan itu, Mohd Zaki Mohd Zulkafli berkata, ketika kejadian, semua pelajar sedang mengikuti kuliah di masjid berdekatan sementara menunggu solat Isyak.
"Kejadian berlaku jam 8 malam, waktu pelajar sedang mengikuti kuliah di masjid dan ketika kuliah berjalan, dua orang pelajar ke tandas.
"Pelajar tersebut nampak api telah pun marak di atas, dan terus ke rumah saya memberitahu mengenainya. Saya bergegas mengarahkan semua pelajar untuk berkumpul dalam masjid," kata Mohd Zaki.
Beliau bagaimanapun bersyukur semua pelajar selamat walaupun bangunan asrama dan kelengkapan di tingkat atas itu musnah, menyebabkan pelajar tinggal sehelai sepinggang.
Kerugian harta benda dan punca kejadian masih dalam siasatan.
#kebakaran #Kuantan #Pusat Pendidikan Islam Annur #sekolah pondok
;