Sekolah persendirian Cina penting untuk pembangunan masa depan Sarawak - Abang Johari
Bernama
November 15, 2021 04:00 MYT
November 15, 2021 04:00 MYT
MIRI: Geran tahunan RM10 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) sejak sekian lama, adalah salah satu daripada banyak bukti nyata yang menunjukkan bahawa ia tidak pernah mengabaikan sumbangan sekolah persendirian Cina (CIS).
Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata apabila merujuk kepada soal pendidikan, kerajaan negeri mengambil sikap liberal dengan pandangan yang terbuka.
"Kami (di GPS) benar-benar mahu menyediakan anak Sarawak, terutama ke arah memenuhi permintaan ekonomi baharu.
"Kita perlukan (mereka yang mempunyai) ijazah yang diperlukan bagi pembangunan ekonomi akan datang," katanya pada persidangan media selepas merasmikan pembukaan blok akademik dan pentadbiran sekolah Riam Road Secondary School.
Beliau berkata kerajaan GPS mengiktiraf sijil Unified Examination Certificate (UEC) kerana mata pelajaran yang ditampilkan adalah hampir menyamai lain-lain sukatan pelajaran, dan jika tidak diiktiraf, ia hanya akan merugikan.
Sementara itu Abang Johari mengucapkan tahniah kepada lembaga pengurusan sekolah Riam Road Secondary School terhadap wawasan mereka melahirkan pelajar yang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan, terutama dalam memenuhi permintaan dan keperluan masa depan.
"Kita sedang memasuki era digital menjelang tahun 2030 dan ini adalah sebahagian daripada proses yang kita namakan sebagai inovasi serta pembangunan kemahiran, dan saya rasa sekolah ini akan dapat membantu dengan menyumbang ke arah membentuk asas kepada para pelajarnya untuk meneruskan pengajian mereka di luar negara," katanya.
Terdahulu Abang Johari merasmikan majlis pecah tanah Miri Sentral, yang merupakan hub pengangkutan darat bagi kawasan utara Sarawak, yang melibatkan pembangunan projek terminal bas dalam bandar raya di Miri Bypass Road di sini.
Dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12, projek bernilai RM23.22 juta itu akan melibatkan pembinaan 12 kaunter tiket, 10 outlet runcit, 21 platform bas, tempat letak kereta, kedai makan, stesen teksi serta kemudahan bilik simpanan kargo.
Miri Sentral itu akan mengambil masa 26 bulan untuk disiapkan, dan dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2024.
-- BERNAMA