Sekolah perlu prihatin jamin kesihatan pelajar susulan jerebu - Najib
Bernama
Jun 21, 2013 16:16 MYT
Jun 21, 2013 16:16 MYT
Pihak sekolah perlu lebih prihatin bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar ketika musim jerebu ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri menerusi twitternya hari ini berkata sekolah perlu bertindak sewajarnya mengikut situasi bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar sentiasa terjaga.
"Pihak sekolah perlu lebih prihatin untuk menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar di musim jerebu. Bertindak sewajarnya mengikut situasi," katanya.
Pengarah Jabatan Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani pagi ini memaklumkan sebanyak 589 sekolah di Muar, Batu Pahat, Pasir Gudang dan Pontian diarah tutup setakat ini berikutan kualiti udara tidak sihat di kawasan berkenaan.
Sehingga tengah hari ini, kawasan yang terlibat dengan jerebu di Johor terus mencatat peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan Pasir Gudang merekodkan bacaan tertinggi pada 323 iaitu berbahaya.
Bacaan IPU antara kosong dan 50 dikategori sebagai baik; 51 hingga 100, sederhana; 101 hingga 200, tidak sihat; 201 hingga 300, sangat tidak sihat; dan lebih 301, berbahaya.